AM

MONASH UNIVERSITY, TRX CITY BEKERJASAMA BANGUNKAN KAMPUS BAHARU KL BERNILAI RM2.8 BILION

28/10/2025 07:17 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Monash University Malaysia (Monash University) akan bekerjasama dengan TRX City bagi merealisasikan pelaburan tempatan bernilai RM2.8 bilion untuk membangunkan kampus baharu universiti itu di Kuala Lumpur.

Pelaburan tersebut dijangka menyumbang sebanyak RM19.1 bilion kepada ekonomi Malaysia dalam dekad akan datang melalui pelaburan langsung dan impak ekonomi yang luas dalam infrastruktur, inovasi, tenaga kerja, pelajar dan komuniti.

Naib Canselor dan Presiden Monash University Profesor Sharon Pickering dijadual mengumumkan pembangunan kampus baharu itu bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam satu kenyataan, universiti itu berkata kampus baharu berkenaan dijangka dibuka pada 2032 dan mampu menampung sehingga 22,500 pelajar serta 1,700 kakitangan menjelang 2040, sekali gus melengkapi kampus sedia ada di Subang Jaya.

Lebih 35 program tambahan akan ditawarkan di kampus itu dalam bidang keutamaan penting kepada Malaysia dan tenaga kerja global masa depan, termasuk pendigitalan, kecerdasan buatan dan keselamatan siber, perubahan iklim dan kemampanan, penjagaan kesihatan dan kesihatan digital, semikonduktor serta pembuatan termaju, perbankan dan kewangan.

Albanese dalam kenyataan itu berkata menonjolkan keunggulan sektor pendidikan tinggi Australia di peringkat antarabangsa dapat membuka peluang besar kepada pekerjaan dan pelaburan dari Australia.

“Namun ia juga peluang penting untuk memperkukuh hubungan mendalam di rantau ini dan di seluruh dunia.

“Inilah yang kita dapat lihat daripada pelaburan Monash untuk kampus baharunya di Malaysia, apabila para pelajar dapat menimba ilmu di satu daripada universiti terkemuka Australia di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Datuk Azmar Talib berkata menerusi kerjasama itu juga akan memperkukuh daya saing Malaysia dan pembangunan modal insan negara.

“Kerjasama kami dengan Monash University meningkatkan daya saing Malaysia serta kesalinhubungan dengan ASEAN melalui pembangunan tenaga kerja. Kampus bandar Monash University Malaysia ini akan memperkayakan komuniti pelbagai TRX dan melahirkan generasi baharu pemikir bertaraf global,” kata beliau.

Monash University bekerjasama rapat dengan rakan di seluruh ASEAN, termasuk kampusnya di Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina dan Brunei Darussalam, sekali gus menyumbang kepada aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030).

Monash University merupakan institusi  bertaraf global dengan jaringan kukuh di rantau Indo-Pasifik, menyatukan kampus dan komuniti melalui rangkaian hampir 60,000 alumni ASEAN.

Ditubuhkan pada 1998 sebagai kampus universiti asing pertama di Malaysia, Monash University Malaysia kini merupakan kampus antarabangsa terbesar dan paling berjaya universiti itu.

Pembangunan kampus baharu Kuala Lumpur merupakan tambahan kepada kampus Subang Jaya, dengan semua program dan perkhidmatan sedia ada diteruskan seperti biasa.

Komitmen kewangan ini dilaksanakan oleh Monash University Malaysia berdasarkan kejayaannya selama hampir 30 tahun dengan sokongan Monash University Australia.

Daripada kumpulan pelajar pertama seramai 417 orang pada 1998, Monash University Malaysia kini menempatkan lebih 11,000 pelajar daripada lebih 80 negara, mencerminkan peningkatkan permintaan terhadap pendidikan universiti bertaraf 40 terbaik dunia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan