AM

BANJIR JEJAS TANAH PERKUBURAN ISLAM KUALA TRONG, JENAZAH TERKELUAR DIURUSKAN SEMULA

24/10/2025 09:06 PM

TAIPING, 24 Okt (Bernama) -- Banjir yang melanda daerah Larut Matang Selama (LMS) di sini turut menjejaskan Kawasan Tanah Perkuburan Islam Kuala Trong dekat Bukit Gantang. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata terdapat beberapa jenazah dan keranda yang terkeluar daripada liang lahad, selain batu nisan di kawasan perkuburan berkenaan turut tercabut daripada tanah.

Beliau bagaimanapun berkata kebanyakan jenazah yang terkeluar daripada liang lahad itu telah diuruskan oleh penduduk kampung.

“Kawasan tanah perkuburan itu akan dibaik pulih dengan kadar segera.

“Saya akan berbincang lebih lanjut dengan jawatankuasa penduduk dan masjid di kawasan berkenaan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata mangsa banjir terdiri daripada warga emas yang mempunyai sakit kronik serta golongan ibu yang mempunyai bayi kecil yang berada di bawah Parlimen Bukit Gantang akan ditempatkan di Hotel Taiping Perdana di sini.

Beliau berkata mangsa terbabit ditempatkan di hotel berkenaan bagi memberi keselesaan disebabkan keadaan PPS sedia ada tidak begitu sesuai bagi golongan berkenaan.

Setakat pukul 4 petang tadi, sebanyak 2,496 penduduk daripada 857 keluarga dipindahkan di 24 PPS di daerah LMS, Kerian, Manjung dan Perak Tengah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan