Oleh N. Kuvineshwaren
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Penyertaan beberapa pemimpin yang baru dilantik serta Tetamu Pengerusi bakal menyuntik semangat baharu serta "segar" kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sekali gus menandakan fasa penting dalam hubungan kerjasama yang semakin berkembang dalam blok serantau berkenaan.
Barisan pemimpin baharu yang masing-masing mewakili Jepun, Thailand dan Kanada manakala Afrika Selatan dan Brazil hadir selaku Tetamu Pengerusi, mencerminkan penglibatan ASEAN yang lebih meluas dengan rakan-rakan di luar rantau Asia Pasifik.
Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers bagaimanapun menjangkakan tiada sebarang perubahan ketara dalam dasar atau pendekatan negara-negara berkenaan terhadap ASEAN.
Beliau berkata pemimpin baharu berkenaan dijangka meneruskan dasar oleh pemimpin terdahulu dan sebarang perubahan mungkin akan dilaksanakan secara beransur-ansur.
“Tambahan pula, mereka baru memegang tampuk kepimpinan dalam tempoh kurang daripada enam bulan. Maka, masih terlalu awal untuk menilai kemungkinan sebarang perubahan. Mungkin selepas setahun barulah kita dapat melihat perubahan,” katanya kepada Bernama.
Roy berkata penyertaan Afrika Selatan dan Brazil merupakan inisiatif baharu di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Penyertaan Afrika Selatan dan Brazil ini hasil insiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk memperluas penglibatan dengan kumpulan lain seperti negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan yang terkini anggota BRICS,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan berkata Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul yang mengetengahkan pendekatan properniagaan dan pragmatik dilihat mampu membawa manfaat kepada ekonomi negara ini serta memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat.
Beliau berkata kepimpinan Anutin dijangka menyumbang kepada kestabilan jangka pendek dan kesinambungan dasar sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur ketika Thailand bersiap sedia menghadapi fasa peralihan politik seterusnya.
Mengenai Jepun, Azmi berkata Perdana Menteri Sanae Takaichi dijangka mengamalkan dasar luar yang lebih tegas dan menggambarkan pemimpin ini mempunyai pendirian lebih agresif berbanding pendahulunya, Shigeru Ishiba.
“Pendekatan Takaichi seakan-akan menyamai bekas Perdana Menteri Jepun, iaitu mendiang Shinzo Abe – menumpukan aspek pertahanan dan dijangka memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Takaichi, 64, seorang konservatif yang juga dikenali sebagai wanita besi dan mengagumi bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, mencipta sejarah menjadi perdana menteri wanita pertama negara itu selepas percubaan kali ketiga.
Kemenangan wanita besi itu juga sekali gus menjadikan Jepun mengalami pertukaran kepimpinan buat kali keempat dalam masa lima tahun.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu dipilih selepas partinya mencapai kesepakatan dengan Parti Inovasi Jepun untuk membentuk kerajaan campuran.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Indo-Pasifik Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Jawaharlal Nehru New Delhi Dr Rahul Mishra berkata ketiga-tiga pemimpin itu ialah tokoh berwibawa untuk menyusun semula dasar luar dan keselamatan negara masing-masing.
“Ketiga-tiga pemimpin ini mempunyai ketokohan yang dinamik untuk menyusun semula dasar luar dan keselamatan negara mereka. Mereka memainkan peranan penting dalam menyokong kesepaduan dalaman dan hubungan luar ASEAN,” katanya.
Rahul berkata peranan Perdana Menteri Takaichi dalam memperkukuh kehadiran Jepun di rantau Indo-Pasifik akan menjadi perkembangan menarik untuk diikuti.
Mengulas mengenai Thailand, beliau berkata sebagai antara negara pengasas ASEAN, perubahan kepimpinan negara itu dijangka membawa kestabilan domestik yang lebih kukuh, mempertingkatkan penglibatan antarabangsa dan menempatkan Bangkok pada kedudukan lebih aktif dalam menangani krisis Myanmar.
Rahul yang juga felo kanan penyelidikan di Pusat Kecemerlangan Jerman-Asia Tenggara bagi Dasar Awam dan Tadbir Urus Baik Universiti Thammasat, Thailand berkata Anutin yang terkenal dengan pendekatan mesra perniagaan dan kepimpinannya yang berkesan semasa krisis COVID-19 akan menyuntik nilai tambahkepada usaha ASEAN memperkukuh integrasi serantau.
“Usaha untuk memperluas penglibatan ASEAN bertepatan dengan momentum solidariti BRICS yang semakin meningkat. Secara keseluruhan, para pemimpin baharu ini dijangka membawa semangat dan kekuatan baharu kepada usaha kerjasama serantau dan antara serantau ASEAN,” katanya.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul yang menerajui pentabdiran negara pada 7 Sept selepas mendapat perkenan diraja, manakala Perdana Menteri Kanada Mark Carney mengangkat sumpah jawatan pada 14 Mac selepas partinya memenangi pilihan raya umum.
Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia dari 24 hingga 27 Okt atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menghadiri sidang kemuncak itu sebagai Tetamu Pengerusi.
Brazil menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2022 dan kekal sebagai satu-satunya rakan ASEAN dari rantau Amerika Latin.
-- BERNAMA
