KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Bernama) -- Pengalaman pahit menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang tangan diikat dua kali serta dikasari tentera Israel semasa ditahan ketika misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) baru-baru ini, langsung tidak mematahkan semangat Prof Dr Mohd Afandi Salleh.
Sebaliknya, pengalaman pahit itu menguatkan lagi tekad beliau yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk terus terlibat dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.
Mohd Afandi, yang menyertai misi FFC x TMTG bersama lapan sukarelawan Malaysia lain, berkata layanan kasar itu diterima sepanjang tempoh penahanan, apabila mereka diikat dengan cable tie, mata ditutup dan dipaksa duduk berjam-jam dalam posisi tidak selesa tanpa tempat bersandar.
Beliau yang pernah dua kali ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sebelum ini, menyifatkan pengalaman terbaharu itu jauh lebih kejam dan mencabar berbanding penahanan pada 2018.
“Kali pertama saya diikat waktu turun dari kapal, orang lain hanya letakkan tangan di belakang (tidak diikat) dan kali kedua sebelum naik bas untuk ke penjara, didera lebih lama malah saya turut ditendang dan dilayan dengan kasar," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Buku Politik Bukan Akidah di sini hari ini.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu yang melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara termasuk sembilan dari Malaysia dengan menaiki sembilan kapal antaranya Conscience dan Umm Saad, dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 8 Okt lepas dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod sebelum dipindahkan ke penjara Ketziot di Nege.
Pada 10 Okt, sembilan aktivis berkenaan dibebaskan dan dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye, pada 2.30 petang (waktu tempatan) atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
Berbeza dengan situasi 2018 apabila beliau bersendirian, Mohd Afandi berkata kehadiran lapan lagi rakan senegara dalam misi kali ini memberinya kekuatan dan membolehkan mereka saling menenangkan serta memberi semangat.
Beliau berkata semua aktivis bersetuju menandatangani perjanjian pembebasan awal bagi mengelak risiko lebih besar terhadap keselamatan diri serta menjaga kepentingan negara.
“Kami bukan takut tetapi kami tidak dilatih untuk melawan. Objektif kami adalah untuk memecahkan kepungan, bukan untuk berada lama dalam penjara dan kami juga perlu memikirkan kesannya kepada negara,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas tindakan pantas dan cekap menyelamatkan semua aktivis terbabit.
Menjawab persoalan segelintir pihak terhadap penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Mohd Afandi berkata golongan itu berperanan untuk memahami dan menyantuni mangsa wanita serta kanak-kanak di wilayah bergolak berkenaan, maka mereka wajar diberi ruang dalam perjuangan kemanusiaan.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai aktivis khususnya golongan muda menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, namun mengingatkan penyertaan memerlukan persediaan fizikal, mental dan organisasi yang tersusun, bukan sekadar semangat semata-mata.
-- BERNAMA