AM

LEBIH 30 ACARA MERIAHKAN FSSSM 2025 HUJUNG BULAN INI

21/10/2025 11:47 PM

MELAKA, 21 Okt (Bernama) -- Lebih 30 acara menarik menanti pengunjung sempena Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025 yang bakal berlangsung tiga hari bermula 24 hingga 26 Okt ini di Dataran Pengkalan Rama Pantai, dengan sasaran kehadiran 30,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata bertemakan 'Mulanya Di Sini! Pusat Pertemuan Budaya', festival itu dilihat sebagai platform bagi meraikan kepelbagaian seni, budaya dan warisan di sepanjang perairan Selat Melaka selain memperkukuh konsep pelancongan budaya di negeri itu.

"Festival ini merupakan manifestasi penghargaan terhadap Sungai Melaka sebagai titik pertemuan budaya dan perdagangan antara timur dan barat sejak berabad lamanya.

“Melalui festival ini, kita ingin mengangkat semula Sungai Melaka sebagai nadi sejarah dan warisan dunia yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, di samping memperkenalkan produk kreatif, seni dan pelancongan tempatan kepada masyarakat global,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Alias. 

Mengulas lanjut, Shaharul berkata antara pengisian program itu ialah cubaan mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu menghasilkan 50,000 biji onde-onde buah Melaka dan pemakaian busana etnik tradisional paling ramai.

Beliau berkata festival turut menampilkan elemen kerohanian melalui Kempen Subuh Macam Jumaat bersama Mufti Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil di Masjid Kampung Hulu, serta Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Pejuang Melaka di Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama.

"Sempena FSSSM ini juga diadakan Pasar Saloma yang menampilkan lebih 40 gerai jualan berkonsepkan tradisional, pertandingan cungkil bakat, karnival sukan rakyat, riadah dan pelancongan serta ‘Podcast’ Keilmuan bersama penulis dan pengkaji warisan Ninot Aziz yang berkongsi Kisah Rakyat Nusantara dan Kepulauan Melayu.

"Selain itu, pelbagai aktiviti berunsur seni dan budaya turut disediakan seperti Pertandingan Joget X Zapin, Ratu Kebaya Pelancongan, Kempen Busana Etnik, aktiviti pelancongan air dan Malam Lestari Budaya yang menampilkan gabungan persembahan tradisional dan moden," katanya.

Beliau berkata Malam Lestari Seni Budaya yang merupakan acara kemuncak festival itu, bakal menampilkan gabungan elemen sejarah, kearifan tempatan dan hiburan kontemporari sebagai simbol kesinambungan warisan seni Melayu.

Shaharul  berkata selain aktiviti kebudayaan, festival itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk pertandingan memancing dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM15,000.

"Bagi memeriahkan lagi festival, PPSPM turut menawarkan diskaun 30 peratus tambang Melaka River Cruise, termasuk di Eco Cruise Tasik Chinchin dan Eco Cruise Sungai Linggi bagi mereka yang berbusana etnik tradisional pelbagai kaum,” katanya yang berharap festival itu mampu menjadi acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan negeri Melaka.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan