AM

MALAYSIA TERIMA ANUGERAH PENGHARGAAN KHAS SIFAR SISA GLOBAL DI ISTANBUL

20/10/2025 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt  (Bernama) -- Malaysia menerima Anugerah Penghargaan Khas Sifar Sisa Global, anugerah tertinggi daripada Zero Waste Foundation sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam memacu pembangunan pengurusan sisa mampan dan prinsip ekonomi kitaran.

Anugerah disampaikan oleh Wanita Pertama Turkiye yang juga Penaung Zero Waste Foundation, Emine Erdogan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semasa Forum Sifar Sisa Global 2025 di Istanbul, Turkiye, semalam

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, Nga menyifatkan pengiktirafan khas itu sebagai bukti usaha berterusan Malaysia dalam mentransformasi pengurusan sisa bandar, memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menggalakkan penyelesaian inovatif ke arah bandar mampan. 

“Pengiktirafan global ini memperkukuh iltizam saya untuk terus memainkan peranan utama dalam usaha murni ini dan berikrar bahawa bersama pasukan saya, kami akan berkerja tanpa jemu untuk membina kerjasama yang ikhlas dan bermakna dengan Zero Waste Foundation, selaras dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bersama-sama kita mengangkat prinsip penting ini di peringkat global, di PBB, seluruh Asia Pasifik dan rantau ASEAN,” kata Nga yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat),” katanya dalam ucapan pada majilis penyampaian anugerah itu. 

Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan itu memperlihatkan kepentingan pengukuhan tindakan  pelbagai pihak dan komitmen peringkat global untuk menilai semula, mengurangkan, mengguna semula, kitar semula dan memperkukuh hubungan Malaysia dengan alam semula jadi.

Daripada empat kategori termasuk Penyelidikan dan Reka Bentuk Inovatif, Projek Sifar Sisa, dan Amalan Sifar Sisa, Malaysia menerima anugerah tertinggi sekali gus membuktikan kepimpinan dan pencapaian cemerlang negara dalam penyelesaian sifar sisa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kepimpinan Malaysia dalam kelestarian dapat dilihat melalui penubuhan pusat kitar semula, inisiatif Trash go Cash, serta pelancaran Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025-2035, yang mengutamakan tanggungjawab pengeluar, sistem pengesanan sisa berasaskan digital, dan hab teknologi hijau bagi membina bandar lebih sihat dan berdaya tahan.

Usaha negara itu termasuk merubah wajah tapak pelupusan lama kepada Taman Lestari, iaitu ruang komuniti hijau yang dijana oleh tenaga boleh diperbaharui, dan stesen pemindahaan diperkasa kecerdasan buatan (AI) yang memproses 2,500 tan sisa setiap hari, menggambarkan pendekatan inovatif Malaysia dalam memperkasakan pengurusan bandar mampan.

Malaysia juga menggerakkan lebih 100,000 sukarelawan menerusi kempen tahunan Hari Cuci Malaysia (HCM), diilhamkan daripada Hari Cuci Sedunia oleh PBB, yang telah memecah lima rekod kebangsaan sejak dilaksanakan tahun lepas.

Nga kemudian menyampaikan ucaptama penutupan forum, dengan mengulangi komitmen Malaysia untuk terus memperjuangkan Agenda Sisa Sifar sepanjang tempoh menerajui UN-Habitat, dengan memastikan penyelarasan penuh dengan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029.

Beliau juga menyeru semua 104 negara peserta agar mengintergrasikan sifar sisa ke dalam strategi iklim negara masing-masing, memperkasa pihak berkuasa tempatan sebagai jentera pelaksana dan memperkukuh kerjasama pelbagai peringkat untuk selaraskan kerangka global dengan tindakan praktikal di lapangan. 

“Nga turut menekankan mengenai advokasi berterusan Malaysia dengan rakan sejawatan di Brazil untuk memperkasa Agenda Bandar Baharu dalam proses Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) menjelang Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Brazil bulan depan,” menurut kenyataan itu.

Forum Sifar Sisa Global 2025 bertemakan Zero Waste in Action: People, Places, Progress, berlangsung dari 17 hingga 19 Okt lepas di Istanbul.

Ia  menghimpunkan wakil dari lebih 104 negara, termasuk 118 rakan organisasi antrabangsa, datuk bandar, duta dan wakil kanan daripada pelbagai institusi antarabangsa seperti UN-Habitat, Program Alam Sekitar PBB (UNEP) dan Program Pembangunan PBB (UNDP).

Dianjurkan oleh Zero Waste Foundation, forum berkenaan berperanan sebagai platform global untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa ke arah mencapai bandar bebas sisa dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan