WASHINGTON, 15 Okt (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent, menyatakan keyakinan terhadap rundingan perdagangan antara AS dan China, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak kini berkomunikasi pada tahap yang sangat tinggi, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Saya optimis. Kini kami berkomunikasi pada tahap yang sangat tinggi," kata Bessent kepada CNBC.
Beliau berkata AS tidak berniat untuk merosakkan ekonomi China dan percaya Beijing juga tidak mahu menjejaskan ekonomi Amerika.
"Kami tidak mahu merosakkan ekonomi mereka. Kami percaya mereka juga tidak mahu merosakkan ekonomi kami, tetapi mereka ekonomi berasaskan kawalan dan mereka tidak akan mengawal kami dan kami akan mempertahankan kedaulatan kami.”
Presiden AS Donald Trump masih berhasrat untuk bertemu Presiden China Xi Jinping, katanya.
“Setakat yang saya tahu, Presiden Trump masih meneruskan rancangan untuk pertemuan dengan Xi.”
Mengenai kawalan eksport China, beliau berkata AS bersama sekutunya akan bertindak balas secara bersama sekiranya China melaksanakan kawalan eksport ke atas logam nadir bumi.
"Kami akan berbincang dengan sekutu Eropah kami, Australia, Kanada, India dan negara demokrasi Asia dan kami akan memberikan tindak balas bersama kerana birokrat di China tidak boleh mengurus rantaian bekalan atau proses pembuatan untuk seluruh dunia."
Mengenai rundingan perdagangan antara AS dan Kanada, Bessent berkata ia kini kembali ke landasan yang betul selepas lawatan Perdana Menteri Kanada Mark Carney, ke Washington.
“Presiden (Donald Trump) mengadakan pertemuan yang sangat baik dengan Perdana Menteri Carney… Saya fikir rundingan perdagangan AS-Kanada kini kembali ke landasan yang betul.”
Beliau berkata rundingan juga berjalan lancar dengan Korea Selatan, Mexico dan India.
Pada 7 Okt, Trump menjadi tuan rumah kepada Carney di White House untuk membincangkan isu perdagangan dua hala. Walaupun tiada persetujuan dimuktamadkan, kedua-dua pemimpin mengarahkan pasukan masing-masing untuk “segera mencapai perjanjian.” Trump mengakui yang perjanjian dengan Kanada bukan mudah, namun beliau berharap ia akan menjadi perjanjian yang menyeluruh.
Pada Jumaat lalu, Carney berkata Ottawa dan Washington mungkin menandatangani perjanjian perdagangan sektor tertentu selain mematuhi versi baharu Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA). Pada Ahad, media melaporkan yang kedua-dua negara semakin hampir memuktamadkan perjanjian dalam beberapa industri, memetik Menteri Industri Kanada Melanie Joly.
Akhir Julai lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menaikkan tarif ke atas barangan Kanada yang tidak mematuhi USMCA daripada 25 peratus kepada 35 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos, selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Washington.
Pada 22 Ogos, Carney mengumumkan keputusan Ottawa untuk menarik balik semua tarif balas ke atas barangan buatan AS yang dilindungi di bawah USMCA, berkuat kuasa 1 Sept. Bagaimanapun, tarif ke atas produk keluli, aluminium dan automotif dari AS kekal sehingga isu berkenaan diselesaikan.
Dalam pada itu, penutupan kerajaan AS yang sedang berlaku dikatakan menyebabkan kerugian sehingga US$15 bilion sehari kepada ekonomi negara itu, menurut Bessent.
“Saya melihat angka yang menunjukkan kesan ekonomi yang semakin ketara, kemungkinan sehingga US$15 bilion sehari,” katanya apabila ditanya sama ada penutupan itu menjejaskan ekonomi.
Tahun fiskal baharu AS bermula pada 1 Okt, tetapi Kongres gagal meluluskan belanjawan, menyebabkan kerajaan tidak dapat beroperasi. Bessent mendakwa yang kebuntuan belanjawan itu berpunca daripada pendirian Demokrat dan Rumah Putih kini menggunakan situasi itu untuk menghapuskan program yang tidak disukai oleh Republikan.
Mengenai nilai dolar AS, Bessent berkata dolar susut sebanyak 6.7 peratus tahun ini, namun penguncupan defisit dagangan dijangka menyokong pengukuhan mata wang itu.
"Nilai dolar susut 6.7 peratus. Kami mula melihat defisit dagangan AS mengecil dan itu seharusnya menyokong pengukuhan dolar," katanya.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI