AM

PENGANGGUR DIDAKWA CUBA SEBABKAN KEMATIAN POLIS, LANGGAR DENGAN KERETA

14/10/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba menyebabkan kematian dua anggota polis dengan melanggar mereka pada Ogos lepas.

Quah Mun Foo, 49, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Imanuil Soineh, 34, dan Sub Inspektor Mohd Nor Erzuwan, 38, di pintu masuk sebuah pangsapuri di Jalan Tasik Permaisuri serta persimpangan lampu isyarat di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras dekat sini antara 11.30 malam dan 11.40 malam 30 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun serta denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan namun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan rendah.

Hakim Noridah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Dis ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan