KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Ekonomi berkata sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berfungsi dengan lancar dan stabil dengan lebih 11 juta rakyat Malaysia telah menikmati harga RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter setakat 13 Okt, 2025.
Menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata senarai kelayakan penerima BUDI95 turut dikemas kini secara berkala berdasarkan data terkini bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang layak tercicir daripada program berkenaan.
“Kerajaan juga turut prihatin terhadap penduduk yang tidak memiliki e-dompet atau tinggal di kawasan dengan akses internet yang terhad.
“Beberapa kaedah pengesahan kelayakan dan pembayaran telah diperkenalkan di bawah program BUDI95 termasuk pengesahan fizikal melalui terminal MyKad serta bayaran secara tunai di kaunter stesen minyak untuk memastikan prinsip keadilan wilayah dan keterangkuman dapat dilaksanakan,” katanya.
Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Riduan Rubin (BEBAS–Tenom) yang ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai asas penentuan subsidi petrol RON95 tidak menafikan hak rakyat Sabah yang berdepan masalah jurang digital, capaian internet lemah dan kelewatan kemas kini data.
Selain itu, Kementerian Ekonomi berkata kerajaan turut mengambil kira keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai lesen memandu tetapi menggunakan bot petrol sebagai pengangkutan harian.
Melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, senarai pengguna bot dikenal pasti bagi memastikan mereka turut menerima kuota 300 liter sebulan di bawah program BUDI95.
Sejak awal Okt 2025, lebih 23,000 pengguna bot tanpa lesen memandu serta nelayan telah diluluskan sebagai penerima di bawah program berkenaan.
-- BERNAMA