KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Status Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan kalangan syarikat senaraian awam yang mempunyai jejak pasaran meluas di ASEAN serta syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi mengembangkan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Malaysia (CGS MY) Azizah Mohd Yatim berkata ABE dapat menangani isu pergerakan bakat mahir serta cabaran utama yang dihadapi oleh perniagaan berbllang pasaran dalam usaha menggerakkan bakat serta sumber syarikat.
Status ABE, yang akan diselaraskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menawarkan penyelesaian yang saling menguntungkan kepada perniagaan dan negara serta menyokong perniagaan supaya dapat meningkatkan skala merentas sempadan ASEAN, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Langkah ini turut disokong oleh Pas Pelabur yang diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk syarikat multinasional dan pelabur berpotensi dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik, serta lanjutan Pas Residen -- laluan pantas untuk bakat,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan status ABE yang diselaraskan oleh SC untuk memudah cara pergerakan bakat mahir, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di ASEAN.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata status itu diberikan kepada syarikat senaraian awam yang memiliki jejak pasaran meluas di ASEAN dan syarikat pertengahan yang berpotensi mengembangkan operasi.
Beliau membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, daripada jumlah itu peruntukan kerajaan adalah RM419.2 bilion.
Sebanyak RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
-- BERNAMA