AM

PROJEK 'AIR SPACE SANDBOX' BUKA RUANG PENYELIDIKAN, INOVASI PELBAGAI BIDANG - UNIMAP

11/10/2025 05:05 PM

KANGAR, 11 Okt (Bernama) -- Projek Air Space Sandbox akan membuka ruang yang lebih luas kepada penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang seperti logistik, pemetaan, pertanian pintar dan keselamatan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata projek itu juga sejajar dengan aspirasi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi penerbangan dan dron.

Beliau berkata selain itu, ia juga menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang aeronautik dan teknologi tanpa pemandu.

“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap keupayaan UniMAP dalam memperkasa sektor aeronautik negara,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' di Dewan Rakyat semalam berkata sebanyak RM16 juta diperuntukkan untuk bidang aeronautik, dengan UniMAP akan membangunkan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti pertama di ASEAN yang mempunyai lapangan terbang menyokong industri penerbangan maritim dan melahirkan juruterbang amfibia tempatan.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata UniMAP komited untuk terus menerajui penyelidikan berimpak tinggi melalui pendekatan kolaboratif antara akademia, industri dan kerajaan.

Sementara itu, mengenai Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dengan peruntukan RM120 juta setahun, Zaliman berkata pengumuman itu amat signifikan bagi membantu pelajar.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, saksama dan berteraskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan