KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Usaha berterusan kerajaan menggalakkan keterangkuman kewangan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans hayat melalui lanjutan pelepasan cukai dan duti setem dapat menggalakkan ibu bapa, terutamanya keluarga muda merancang awal jaminan kewangan anak-anak mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O’Dell berkata membeli insurans hayat untuk kanak-kanak pada usia muda secara amnya lebih mampu milik dan memastikan perlindungan berterusan sehingga dewasa tanpa mengambil kira keadaan kesihatan pada masa depan.
“Insentif ini juga akan meningkatkan kadar penembusan insurans hayat, yang kini sebanyak 45 peratus, bermakna hanya empat daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat.
“Pada masa ini, pembayar cukai juga menikmati satu lagi pelepasan cukai gabungan sehingga RM4,000 untuk polisi perubatan dan pendidikan anak — pelengkap penting kepada lanjutan pelepasan cukai insurans hayat yang terus menyokong perancangan kewangan keluarga secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Menyambut baik langkah kerajaan mengecualikan duti setem untuk Perlindungan Tenang dan produk insurans premium rendah sehingga 2028, O’Dell berkata langkah ini akan terus menjadikan perlindungan insurans lebih mudah diakses dan mampu milik, terutamanya untuk komuniti B40.
Inisiatif Perlindungan Tenang yang diperkenalkan pada 2017, dirangka untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya belia, keluarga muda dan isi rumah berpendapatan rendah mendapat perlindungan insurans dan takaful asas.
O’Dell berkata sokongan berterusan daripada kerajaan memainkan peranan penting dalam memperkasakan kumpulan B40 untuk mengambil langkah pertama ke arah jaminan kewangan dan daya tahan kewangan jangka panjang.
Beliau berkata industri insurans hayat terus komited untuk menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial negara.
“Industri memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat melalui perlindungan, simpanan jangka panjang dan dana penjagaan kesihatan.
“Dengan perancangan yang proaktif dan insentif cukai yang sesuai, pihak swasta dan rakyat dapat digalakkan untuk turut serta dalam membina ekosistem perlindungan sosial yang mampan — dengan kerjasama kerajaan untuk manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA