KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Agrobank memuji komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda pertanian dan keselamatan makanan negara seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menzahirkan penghargaan terhadap tumpuan kerajaan kepada keusahawanan agro dengan peruntukan yang besar, selaras dengan visi bank itu untuk memperkasa aktiviti pertanian serta memperkukuh rantaian nilai makanan negara.
“Pelaburan besar dalam sektor pertanian dan keselamatan makanan di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan pengiktirafan bermakna terhadap kepentingan sektor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM1.1 bilion kepada Agrobank bagi membantu usahawan tani memperluas operasi mereka selain memajukan usaha automasi dan mekanisasi.
“Peruntukan besar ini bukan sahaja memperkasa pemain industri, malah meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kedudukan sektor pertanian sebagai tunjang keselamatan makanan negara,” katanya.
Tengku Ahmad Badli Shah turut menyorot inisiatif Program Agropreneur NextGen di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menyediakan geran permulaan dan peluasan projek berjumlah RM20 juta bagi projek pertanian.
“Kami menyokong sepenuhnya cadangan kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun kepada syarikat yang memulakan usaha baharu dalam pengeluaran makanan, sah selama 10 tahun,” katanya.
Selain itu, syarikat sedia ada yang melaksanakan projek peluasan akan menikmati pengecualian cukai pendapatan berkanun sebanyak 100 peratus selama lima tahun.
Bagi menggalakkan automasi dan meningkatkan hasil tanaman, beliau berkata kerajaan akan melanjutkan insentif cukai automasi pertanian yang meliputi sektor perladangan, ternakan, apikultur, akuakultur dan perikanan laut dalam kepada operasi ternakan terpilih yang menggunakan sistem rumah tertutup.
Sebagai institusi kewangan pembangunan, Tengku Ahmad Badli Shah menegaskan Agrobank akan terus komited bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan sektor penting ini.
“Misi kami melangkaui penyediaan pembiayaan semata-mata. Kami bertekad untuk menyokong kelangsungan hidup serta membina masa depan yang mampan. Belanjawan 2026 bukan sekadar angka, tetapi simbol harapan dan peluang kepada komuniti tani dalam sektor agromakanan,” katanya.
-- BERNAMA