Oleh Nur Fadhliana Shaari
KULAI, 11 Okt (Bernama) -- Keputusan menukar lokasi restoran yang diusahakan sejak 2023 bagi memanfaatkan peruntukan RM100,000 di bawah program Sejahtera SejaTi MADANI ternyata membuka pintu rezeki lebih luas buat usahawan muda Siti Salina Uyob, di Felda Bukit Batu di sini.
Langkah berani wanita berusia 37 tahun itu bersama rakan kongsi, Mohd Hasrul Mohd Idris, 49, bukan sahaja memperkukuh perniagaan restoran “Selera Asap” yang terkenal dengan menu utama seperti asam pedas, daging salai dan ayam penyet, malah turut membantu merancakkan ekonomi komuniti Felda berkenaan.
Menurut Siti Salina, di bawah inisiatif SejaTi MADANI, peruntukan diterima digunakan bagi membina sebuah kedai jenis kabin lengkap dengan kemudahan asas termasuk dapur, meja dan kerusi.
“Sebelum terpilih menyertai inisiatif SejaTi MADANI ini, kami memang sudah ada pengalaman berniaga di tempat lain. Bila peluang ini datang, kami ambil masa agak lama juga untuk buat keputusan sama ada mahu berpindah atau tidak sebab lokasi lama memang sangat strategik, betul-betul di tepi jalan besar.
“Kami mula beroperasi di sini pada 28 Ogos tahun ini dan Alhamdulillah, walaupun masih baru, ramai pelanggan lama yang datang semula menyokong kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menampilkan menu utama Asam Pedas Johor yang diilhamkan daripada carian Google, restoran itu kini menjadi tumpuan penggemar makanan tradisional dari sekitar Kulai dan negeri Johor, sekali gus meningkatkan keuntungan serta menarik pelanggan dari luar termasuk Kuala Lumpur.
Menceritakan keistimewaan Restoran Selera Asap, Siti Salina berkata semua lauk-pauk dimasak sendiri olehnya dan hanya disediakan selepas pesanan dibuat bagi memastikan setiap hidangan kekal segar. Pelanggan pula dihidangkan nasi putih dalam bekas tahan panas (termos) dan boleh menambah seberapa banyak secara percuma, manakala bayaran hanya dikenakan bagi lauk yang dipesan.
“Boleh tambah berapa kali pun, harga tetap sama. Suasana di sini juga jauh lebih selesa berbanding tempat lama yang hanya mempunyai 20 meja. Sekarang kami ada antara 55 hingga 60 meja, tiga kali ganda lebih banyak. Jumlah pelanggan pun meningkat hampir tiga kali ganda,” katanya.
Dalam usaha berkongsi rezeki dan memperkukuh ekonomi setempat, Siti Salina yang berpengalaman bekerja di kantin kilang turut bercadang membuka peluang kepada penduduk Felda yang berminat untuk berniaga di kawasan sekitar restoran.
“Saya dah berbincang dengan Tok Ketua dan Majlis Belia Felda. Saya nak buka peluang kepada penduduk kampung yang nak berniaga sama-sama. Saya tak akan kenakan sewa tinggi sebab niat saya nak bantu ekonomi kampung. Antara cadangan termasuk membuka gerai sate, makanan ringan dan minuman tambahan supaya lebih ramai boleh menjana pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Bukit Batu Jamallulail Ahmad, 32, menyifatkan inisiatif SejaTi MADANI amat bermanfaat dalam memberi peluang kepada penduduk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
“Projek seperti ini sangat baik untuk ekonomi kampung, terutama Felda Bukit Batu yang merupakan antara Felda tertua, sudah lebih 60 tahun. Ramai penduduk asal kini berusia lanjut, jadi kami manfaatkan peluang melalui program SejaTi MADANI untuk bantu mereka.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan inisiatif SejaTi MADANI serta Pejabat Daerah Kulai yang menggerakkan pelaksanaannya kerana ia benar-benar membantu memperkukuh ekonomi kampung kami,” katanya.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan projek itu, kampung berkenaan berjaya mengurangkan hampir 50 peratus kebergantungan kepada sumber luar, selain Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kini lebih berdikari dalam melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat.
-- BERNAMA