KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF) menyambut baik pelepasan khas cukai hingga RM1,000 kepada rakyat yang melancong dalam negara, di samping pelepasan atas perbelanjaan pengubahsuaian kepada pengusaha pelancongan untuk merancakkan lagi industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Presiden MTF Dr Sri Ganesh Michiel berkata pelepasan cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi bayaran masuk ke tempat pelancongan dan program kebudayaan tempatan mencerminkan komitmen padu kerajaan dalam menggalakkan pelancongan domestik serta memperkukuh sektor pelancongan negara.
“Insentif itu akan menggalakkan lagi penambahbaikan berterusan terhadap kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelawat sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan menarik kedatangan pelancong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata, lebih RM700 juta akan diperuntukkan bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan, termasuk kempen TMM 2026 yang menyasarkan kedatangan 47 juta pelawat serta hasil pelancongan berjumlah RM329 bilion.
Sri Ganesh berkata kekukuhan komitmen fiskal itu jelas memperlihatkan Malaysia serius dalam usaha mengembalikan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
Beliau berkata dengan pelaburan besar itu maka penting untuk memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berkesan, memanfaatkan pengusaha pelancongan berlesen dan berdaftar yang mengekalkan kualiti perkhidmatan, menjamin keselamatan serta menyumbang secara adil melalui pembayaran cukai.
“Langkah berkenaan sudah tentu merangsang pelancongan domestik dan meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat global,” katanya.
MTF juga menyambut baik pengumuman yang pengendali pelancongan bakal diberikan pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia, selain pemberian pengecualian cukai kepada syarikat, organisasi atau persatuan yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa.
MTF yang mewakili lebih 20,000 perniagaan dan pihak berkepentingan pelancongan di seluruh negara turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan pemberian potongan cukai hingga RM500,000 kepada pengusaha pelancongan yang layak bagi pengubahsuaian atau naik taraf premis perniagaan.
Selain itu, MTF juga memuji kepimpinan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam persiapan menuju TMM 2026 dan menyeru seluruh rakyat Malaysia turut berperanan sebagai duta negara dengan mewujudkan persekitaran positif, selamat dan mesra kepada pelancong.
“Kejayaan TMM 2026 bergantung kepada kita semua. Marilah kita bersatu hati, menghindari sebarang publisiti atau tindakan negatif yang boleh menjejaskan imej negara, dan bersama-sama memperlihatkan keramahan, kepelbagaian serta perpaduan yang menjadi identiti Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MYBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata inisiatif itu adalah langkah yang tepat pada masanya dan sangat baik untuk menggalakkan perbelanjaan pelancongan domestik sambil menyokong pengendali tempatan di seluruh negara.
Pada masa sama, persatuan itu menggesa tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penyedia penginapan tidak berdaftar, menekankan bahawa operasi mereka menjejaskan persaingan adil selain keuntungan hotel dan resort yang sah serta berlesen.
"Dari perspektif ekonomi, MYBHA menekankan bahawa pelaburan kerajaan dalam pembangunan pelancongan perlu diperoleh semula menerusi kutipan cukai yang baik, yang kini ditanggung kebanyakannya oleh pengusaha berlesen.
“Penyedia penginapan haram sering mengelak Cukai Pelancongan dan kewajipan lain yang berkaitan, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, mengakibatkan ketirisan hasil yang ketara kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata persatuan itu turut menyambut baik insentif cukai untuk pengusaha projek pelancongan yang melakukan pengubahsuaian dan naik taraf premis dengan potongan cukai sehingga RM500,000, menyatakan bahawa langkah itu akan membantu meningkatkan kualiti, keselamatan dan daya tarikan hotel dan resort kepada pelawat tempatan serta antarabangsa.
-- BERNAMA