KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM45 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menunjukkan keseriusan Kerajaan MADANI membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di pintu masuk sempadan negara.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan kepada agensi yang baru sahaja ditubuhkan itu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan atas peruntukan yang diberikan kepada agensi baharu ini, perjalanan kami masih baharu dan sudah tentu mempunyai liku-liku tersendiri kelak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Shuhaily turut menyambut baik rancangan kerajaan melantik veteran tentera bagi mengisi kekosongan jawatan dalam AKPS.
Beliau berkata pengalaman veteran dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara amat ditagih dalam menjayakan hasrat kerajaan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di sempadan negara.
"Disiplin dan kepakaran veteran tentera akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan AKPS menjadi agensi penguatkuasaan sempadan yang berwibawa dan bermaruah,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata sejak penubuhan, AKPS telah menghalang masuk lebih 10,000 warga asing dan menyita barangan yang cuba dibawa secara tidak sah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS, kerajaan akan memberi keutamaan untuk melantik petugas di agensi itu daripada kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh.
-- BERNAMA