EKONOMI

PASARAN KEWANGAN MALAYSIA DIJANGKA KEKAL KUKUH DISOKONG EKONOMI DAN DASAR MONETARI

10/10/2025 04:32 PM

Oleh Karina Imran and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Prospek pasaran kewangan Malaysia kekal positif disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh, dasar monetari yang menyokong dan pembaharuan struktur yang berterusan demi menjamin kemampanan pertumbuhan ekonomi.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam Tinjauan Ekonomi 2026 yang dikeluarkan hari ini, penyertaan aktif dalam pasaran modal domestik di samping pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

“Pada masa yang sama, kemajuan pesat dalam perbankan dan pasaran modal Islam berasaskan Syariah menegaskan komitmen Malaysia terhadap kewangan beretika dan berasaskan nilai,” katanya.

Pada Julai 2025, Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus, buat kali pertama sejak Mei 2023 - membawa kepada penyederhanaan dalam kadar deposit tetap bagi tempoh matang satu hingga 12 bulan kepada antara 1.92 peratus dan 2.95 peratus.

Menurut MOF, ringgit mengukuh kepada RM4.2253 atau meningkat 5.8 peratus berbanding dolar AS, di samping turut meningkat berbanding beberapa mata wang Asia seperti rupiah Indonesia (8.2 peratus), peso Filipina (4.3 peratus) dan renminbi China (3.4 peratus) sekali gus mengekalkan kedudukan antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini.

"Penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS sebanyak 25 bps kepada julat 4.00 peratus hingga 4.25 peratus pada September 2025 di samping jangkaan dua penurunan menjelang akhir 2025 mengukuhkan lagi nilai ringgit," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya sektor perbankan turut mengekalkan pengurusan mudah tunai yang berhemat dalam mengimbangi antara pertumbuhan kredit dengan deposit menerusi nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) kekal stabil pada 87.2 peratus.

Katanya pasaran bon Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dipacu oleh permintaan asing yang berterusan dan dasar monetari yang menyokong bagi tempoh Ogos hingga Disember 2025.

"Kadar faedah global yang semakin rendah dan jangkaan dolar AS yang terus lemah boleh meningkatkan permintaan terhadap bon berdaulat dan korporat Malaysia.

"Pada masa sama, asas mikroekonomi yang teguh, kecairan pasaran yang tinggi dan kestabilan ringgit terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan," katanya.

Menurut MOF, pasaran ekuiti Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada reformasi struktur berterusan, perbelanjaan pengguna yang mantap, landskap politik yang stabil serta pengukuhan berterusan ringgit sekali gus menyokong sentimen pelabur pada tahun depan.

Berkaitan pasaran modal Islam negara, katanya segmen itu dijangka terus berkembang dengan peranan kepimpinan global yang kukuh disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam pengawalseliaan dan tumpuan jelas terhadap kewangan mampan.

Berpandukan aspirasi Maqasid Syariah, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh tadbir urus serta menggalakkan pembangunan produk kewangan yang berasaskan tanggungjawab sosial bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab global dalam kewangan Islam di samping menegaskan komitmen terhadap pelaburan yang mampan, beretika dan terangkum.

-- BERNAMA


 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan