AM

KOS OPERASI FAKTOR UTAMA TAMBANG BOT KE PULAU AUR LEBIH TINGGI

10/10/2025 12:26 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 10 Okt (Bernama) -- Kos operasi antara faktor utama tambang bot dan feri ke Pulau Aur yang terletak kira-kira 76 kilometer dengan lebih dua jam perjalanan menaiki bot laju dari Jeti Mersing atau hampir tiga jam jika menaiki feri, lebih tinggi berbanding pulau lain di daerah ini. 

Pemilik MSG Boat Building Muhammad Sallehan Abd Ghafar, 34, berkata kedudukan pulau yang paling jauh dari daratan Semenanjung itu menyebabkan kadar penggunaan minyak meningkat. 

"Selain bahan api, kos penyelenggaraan enjin serta bot termasuk kerja pembersihan bawah air, kos berlabuh dan lain-lain perlu dilakukan secara berkala sekali gus menjadi antara yang menyumbang kepada kadar tambang bot. 

"Faktor kenaikan harga minyak (global) juga mempengaruhi harga perkhidmatan yang kita tawarkan," katanya yang turut membuat servis pakej pelancongan dan lawatan ke pulau-pulau, kepada Bernama. 

Turut senada, pengusaha bot Mohd Farid Mohd Samidin, 33, berkata kadar yang dikenakan mengambil kira gaji pekerja, penggunaan minyak yang tinggi selain kos penyelenggaraan bot, dalam usaha memastikan perkhidmatan tersebut berjalan lancar.

"Selain itu, kekerapan bot masuk ke Pulau Aur pula bergantung kepada tempahan yang diterima daripada resort,” katanya yang memiliki tujuh bot laju. 

Mohd Farid berkata ketika ini kadar bot berkapasiti 12 penumpang yang di carter atau sewa khas untuk ke pulau berkenaan boleh mencecah RM2,000 sehala. 

Difahamkan bagi feri, penduduk yang rata-ratanya golongan B40 terpaksa menanggung kos hingga RM210 seorang bagi perjalanan pergi dan balik antara pulau berkenaan dan jeti Mersing.

Pengarah pemasaran Sebukang Bay Resort Rumizi Abd Manaf, 39, pula berkata berbeza dengan Pulau Tioman yang mempunyai populasi lebih ramai dan menerima kedatangan pelancong tinggi, Pulau Aur memiliki komuniti kecil serta resort yang terhad sekali gus menjadikan kekerapan perjalanan bot lebih rendah.

"Selain itu, kedudukan pulau yang jauh dari daratan menyebabkan penduduk dan pengusaha resort tidak mempunyai pilihan selain bergantung sepenuhnya kepada laluan laut.

“Bagaimanapun, kebiasaannya apabila menerima tempahan melebihi 10 pelanggan, kita akan carter  bot laju agar lebih mudah menyelaras pergerakan (perjalanan) mereka,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, penduduk pulau tersebut berharap agar kerajaan negeri dapat memperkenalkan subsidi tambang bot dan feri bagi memudahkan pergerakan terutama mereka yang perlu berulang-alik bagi mendapatkan rawatan kesihatan selain urusan keluarga.

Rata-rata penduduk berkata inisiatif subsidi tambang itu amat dinantikan memandangkan kebanyakan penduduk terdiri daripada nelayan dan petani tanpa memiliki sumber pendapatan tetap malah Pahang sudah melaksanakan subsidi tambang untuk penduduk Pulau Tioman (sejak Januari 2023)

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan