AM

SULTAN MUHAMMAD V TITAH KELANTAN TERAJU JELAPANG MAKANAN NEGARA

29/09/2025 08:45 PM

KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Semua pihak perlu memanfaatkan kekuatan negeri ini sebagai antara pengeluar utama hasil pertanian dan ternakan di Malaysia, titah Sultan Kelantan Sultan Muhammmad V.

Baginda bertitah usaha ini penting bagi mengangkat Kelantan sebagai jelapang makanan negara, sekali gus memperkukuh tahap jaminan sekuriti makanan di Malaysia. 

"Pada masa yang sama, potensi negeri dalam pembangunan produk hiliran juga wajar diberi tumpuan, khususnya melalui penerokaan industri hiliran yang mampu menambah nilai kepada produk tempatan serta memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia bersempena dengan Hari Keputeraan baginda yang ke-56 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Sementara itu, Sultan Muhammad V diberi maklum bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”, telah memfokuskan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan menstruktur semula ekonomi.

"Beta menyambut baik pengumuman RMK13 yang melibatkan beberapa inisiatif penting untuk Kelantan, termasuklah pembangunan hab ekonomi biru, penaiktarafan infrastruktur bunkering, industri pembinaan dan pembaikan kapal, serta menaik taraf pelabuhan Tok Bali.

Sehubungan dengan itu, baginda menyeru supaya semua pihak, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta untuk berpadu usaha merealisasikan agenda ini "ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih".

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan