KLANG, 10 Julai (Bernama) -- Seramai 700 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil bakal menerima buku panduan khas secara percuma.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata buku panduan itu merangkumi sukatan pelajaran sepanjang tiga semester dan diterbitkan hasil usaha bersama golongan cendekiawan, termasuk profesor serta guru Tingkatan Enam.
Katanya inisiatif itu bertujuan membantu pelajar yang mengambil subjek Bahasa Tamil, khususnya mereka yang tidak mempunyai guru bagi mata pelajaran berkenaan.
“Sebelum ini, Kementerian Pendidikan pernah menerbitkan buku panduan sama pada 2018 sebagai rujukan pelajar. Usaha ini adalah kesinambungan bagi menambah sumber pembelajaran dan mengurangkan kesan kekurangan guru Bahasa Tamil.
“Buku ini akan diedarkan secara percuma setiap tahun kepada pelajar di seluruh negara yang mengikuti subjek ini,” katanya selepas melancarkan Buku Panduan STPM Bahasa Tamil di sini, hari ini.
Buku berkenaan yang belum dipasarkan dihasilkan menerusi inisiatif Persatuan Penyelidikan Tamil Antarabangsa (IATR).
Saraswathy turut mengalu-alukan pihak sekolah untuk mendapatkan buku panduan itu bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Saya percaya buku ini mampu menjadi bahan rujukan penting, selain membantu menangani isu kekurangan guru,” katanya sambil menyerahkan buku kepada 100 pelajar yang hadir.
-- BERNAMA