AM

KERAJAAN TELITI BINA PAGAR PENGHADANG, PASANG LAMPU DI JALAN SUNGAI KOROK

08/07/2025 05:26 PM

JERLUN, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti cadangan untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung penambahbaikan infrastruktur di laluan berkenaan yang menghubungkan Jitra dengan Jerlun.

“Kita akan berbincang dengan JKR untuk membuat guardrails (penghadang) di tepi sungai itu, dan lampu jalan akan saya ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan berkenaan dan juga kawasan-kawasan gelap yang lain.

“Secara kebetulan, saya juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya, dan perkara ini akan saya maklumkan kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dapat dilakukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi rumah nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.

Putri Qisya Nur Izzat merupakan anak sulung kepada pasangan Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu lepas.

Empat anak mereka ialah Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan. 

Kesemua jenazah dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, di sini malam tadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Putri Qisya Nur Izzat akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantunya meneruskan pelajaran sehingga peringkat universiti.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada Putri Qisya Nur Izzat supaya terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat dan menjadi anak yang solehah.

"Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi. Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. 

“Insya-Allah, MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya. Selain itu, segala bantuan yang diperlukan akan disalurkan dan kita akan ikhtiarkan yang terbaik untuk masa depannya," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan