KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Jumlah rakyat Malaysia yang percaya keadaan negara sedang merosot, menurun sebanyak 12 peratus kepada 40 peratus tahun ini berbanding 52 peratus pada 2023, mencerminkan perubahan positif dalam pandangan masyarakat terhadap hala tuju negara.
Jumlah itu berada di bawah purata global, iaitu 57 peratus.
Berdasarkan tinjauan terkini daripada Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) berhubung pandangan rakyat Malaysia mengenai keadaan negara, rakyat mempunyai pandangan yang progresif mengenai keadaan semasa negara.
Menurut Ipsos dalam kenyataan hari ini, di sebalik pandangan progresif itu, kira-kira dua per tiga rakyat Malaysia menganggap wujud jurang masyarakat yang ketara dan ketidakseimbangan ekonomi yang berat sebelah kepada golongan kaya dan elit politik.
“Situasi ini menunjukkan wujud keperluan untuk membina semula kepercayaan terhadap institusi dan ia berpotensi untuk menjadi pencetus kepada perubahan sosial.
“Dalam konteks ini, separuh daripada rakyat Malaysia percaya bahawa negara memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan berani bertindak,” menurut kenyataan itu.
Ipsos menjelaskan Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang gangguan dan kesukaran ketika dunia berdepan dengan semakin banyak ketidaktentuan dan cabaran-cabaran baharu.
“Dalam hal ini, usaha memupuk kesepaduan sosial menerusi kepimpinan yang berkesan akan menjadi faktor utama bagi mengharungi tempoh yang mencabar sekali gus menjamin masa depan yang stabil untuk semua rakyat Malaysia,” menurut Ipsos.
-- BERNAMA