Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perbincangan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan teliti bagi memastikan ia berupaya mengurangkan potensi konflik di wilayah tersebut, ketika ASEAN berusaha memuktamadkan rundingan menjelang 2026.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro berkata memandangkan COC dijangka menjadi instrumen yang mengikat secara undang-undang, adalah penting perbincangan mengenainya dijalankan dengan penuh teliti.
“Tiada apa yang mudah, dalam semua aspek perbincangan dan naratif ASEAN, tiada yang segera. Banyak cabaran dan banyak perkara yang perlu dibincangkan. Jadi, ia mengambil masa yang sewajarnya.
“Malah Deklarasi Perilaku Pihak-Pihak atau DOC, juga mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan. Kini, lebih-lebih lagi dengan COC, kerana ia membawa tanggapan bahawa ia perlu mengikat secara undang-undang.
“Sebab itu adalah wajar untuk kita berhati-hati dalam perbincangannya,” katanya kepada media di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini, Rabu.
Lazaro berkata Filipina kekal komited untuk memuktamadkan COC dan akan terus berbincang mengenai butiran penting berhubung COC.
ASEAN menyasarkan untuk memuktamadkan COC Laut China Selatan menjelang 2026, walaupun sama ada ia akan mengikat secara undang-undang masih dalam perbincangan.
Dalam Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dikeluarkan pada Mei, para pemimpin ASEAN menegaskan komitmen mereka untuk mengekalkan keamanan, kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketegangan maritim serantau.
Pemimpin ASEAN dalam kenyataan itu turut mengalu-alukan kemajuan yang dibuat dalam rundingan berterusan ke arah pemuktamadan COC yang telah lama dinantikan bagi Laut China Selatan, yang dilihat sebagai instrumen mengikat bagi memastikan keamanan dan menguruskan tuntutan bertindih antara negara yang menuntut, termasuk China.
Laut China Selatan merupakan antara laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia serta wilayah yang kaya dengan sumber marin dan mineral, menjadikannya penting dari segi ekonomi dan strategik.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sekurang-kurangnya 1,500 delegasi dari negara ASEAN dan negara rakan luar termasuk menteri luar, diplomat tinggi dan pegawai kanan menghadiri 24 mesyuarat peringkat menteri sepanjang empat hari.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menyandang jawatan pengerusi ASEAN sejak menjadi anggota blok serantau itu, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA