EKONOMI

KEMENTERIAN DIGITAL SASAR SELARAS EKOSISTEM DIGITAL DI SELURUH NEGARA - GOBIND

03/07/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Digital sedang berusaha untuk menyatukan dan meningkatkan inisiatif merentas negeri dan agensi bagi memacu ekonomi digital di Malaysia, kata Menterinya, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerajaan ketika ini giat menarik penglibatan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan, di dalam dan luar negara, bagi mengenal pasti amalan terbaik dan meningkatkan integrasi platform.

“Kami berkunjung ke seluruh negara dan bertemu dengan rakan sejawatan di luar negara bagi memahami cara mereka membangunkan platform digital masing-masing,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Pemecut Berkembar Selangor 2025 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini hari ini.

Gobind berkata kebanyakan negeri telah menunjukkan kemajuan yang ketara dalam membangunkan industri digital mereka.

“Di peringkat nasional, kita mempunyai agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Di peringkat negeri, terdapat organisasi seperti Sidec di Selangor dan Digital Penang. 

“Matlamat kami ialah untuk menyatukan semua usaha ini bagi meningkatkan, menyepadukan dan menghubungkan lebih ramai orang ke platform ini. MDEC sedang meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama sedemikian akan mempercepatkan penggunaan peralatan digital dan mengurangkan pertindihan usaha.

“Apa yang penting bagi saya ialah melihat platform dan organisasi ini bersedia dan cara kita boleh menggunakan kekuatan kita untuk mengukuhkannya, dan bukannya bermula dari awal,” katanya.

 

Rangka Kerja AI Kebangsaan Bakal Diperkenalkan

Mengenai cadangan rangka kerja kawal selia kebangsaan bagi kecerdasan buatan (AI), Gobind berkata kementeriannya menyasarkan untuk memperkenalkan perundangan mengenai AI menjelang separuh kedua 2026 sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk mewujudkan rangka kerja tadbir urus AI kebangsaan yang komprehensif.

“Kementerian sedang meneroka bentuk tadbir urus yang paling sesuai. Ia boleh dilakukan menerusi perundangan, peraturan atau penggunaan piawaian, bagi menyokong kemajuan teknologi dan menguruskan risiko,” katanya.

Laporan itu yang akan dimuktamadkan oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), dijangka menjadi asas bagi pendekatan peraturan AI di Malaysia, sama ada menerusi perundangan baharu, peraturan yang dikemas kini atau penggunaan piawaian bersatu.

 

Pemecut Berkembar Untuk Mendorong Syarikat Pemula Niaga

Sementara itu, Program Pemecut Berkembar Selangor yang dilancarkan hari ini ialah inisiatif dwi-trek bagi membantu syarikat pemula niaga yang paling berpotensi di Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana (IKS) merentasi sektor teknologi mendalam dan berkaitan pengguna.

Edisi tahun ini menampilkan dua trek utama, iaitu ‘Selangor Deep Tech Xccelerator (Deep-X)’ dan ‘Selangor Retail Tech Xccelerator (Retail-X)’ kepada syarikat pemula niaga kalis masa depan serta berkembang di peringkat tempatan dan global.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata sebanyak 100 syarikat disenarai pendek apabila Sidec mengumumkan Program Pemecut Berkembar buat kali pertama pada tahun lepas.

Beliau berkata, mereka menerima RM1.2 juta dalam bentuk faedah dan pendedahan. Sebanyak 20 syarikat disenarai pendek untuk mengembangkan operasi ke Shanghai, China; Ho Chi Minh, Vietnam dan Manila, Filipina.

“Tahun ini, program telah ditambah baik dengan fokus global yang lebih kukuh. Dua trek baharu, iaitu Retail-X dan Deep-X, direka khusus untuk memenuhi keperluan setiap industri, daripada IKS kepada syarikat pemula niaga berpotensi tinggi.

“Dengan ‘World Stage Venture’, pasukan teratas akan mendapat akses pengalaman di belakang tabir kepada operasi perdagangan global, daripada ibu pejabat ByteDance HQ dan TikTok Shop, kepada Plug and Play di Lembah Silikon,” kata Ng.

Sejak penubuhannya, Sidec telah membantu lebih daripada 320 syarikat pemula niaga, menyelaras RM203 juta dalam pengumpulan dana dan memberi pendedahan antarabangsa kepada usahawan menerusi misi ke luar negara.

Oleh itu, Pemecut Berkembar merupakan bahagian penting dalam pelan hala tuju Sidec untuk memupuk sekurang-kurangnya 500 syarikat pemula niaga menjelang 2030. Ini seiring dengan agenda transformasi ekonomi digital Selangor dan Malaysia yang lebih meluas.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan