KANGAR, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis memperkasakan kempen advokasi kepada pemandu dan penumpang bas, bagi memastikan pemakaian tali pinggang keledar adalah perlu ketika menaiki kenderaan awam.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata perkara itu, selaras dengan tindakan penguatkuasaan melalui Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran bermula 1 Julai, bagi menangani isu keselamatan dan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan awam itu.
“Pihak JPJ ingin mengingatkan semua pemandu dan penumpang untuk sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar, selain semua pengusaha bas perlu memastikan semua kenderaan dilengkapi sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik,” katanya pada sidang media sempena pelaksanaan operasi khas itu di Terminal Perlis Sentral, di sini hari ini.
Noraini berkata berdasarkan statistik semasa pemeriksaan dan penguatkuasaan menunjukkan tahap pematuhan semua pemandu serta penumpang di Perlis berada pada tahap baik, namun ia bukan jaminan aktiviti penguatkuasaan akan dilonggarkan sebaliknya ia terus dipertingkat dari semasa ke semasa dengan tindakan lebih tegas.
“Sejak bermulanya operasi mulai 1 Julai 2025 sehingga kini, pemeriksaan telah dibuat ke atas bas-bas yang memasuki dan bergerak keluar dari Perlis dengan melibatkan sebanyak 79 buah bas ekspres dan 51 buah bas persiaran.
“Dalam tempoh berkenaan hanya seorang pemandu dan seorang penumpang telah dikenakan kompaun sebanyak RM300 setiap seorang. Bagi penumpang di bawah umur pula sebanyak 17 orang telah diberikan nasihat melalui advokasi agar sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.
-- BERNAMA