Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Norway optimis mengenai meningkatkan hubungan ekonomi dengan ASEAN dan Malaysia, memfokuskan pada kemampanan, perdagangan dan pertumbuhan hijau, kata Timbalan Menteri Luar negara itu, Andreas Motzfeldt Kravik.
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama ketika ditemui di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) , Kravik mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menjalankan peranan sebagai pengerusi ASEAN dengan sikap profesionalisme dan integriti.
"Kami berbesar hati berada di sini sekarang sebagai rakan dialog sektoral. Saya juga gembira untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat pada bulan April.
"Justeru, kami melakukan banyak interaksi sekarang dengan ASEAN. Kami mempunyai duta ASEAN, kami juga ada komitmen yang sangat jelas kepada ASEAN," katanya.
Menyedari bahawa ASEAN ialah blok perdagangan kelima terbesar Norway, Kravik menekankan minat perniagaan Norway yang semakin meningkat di rantau ini terutamanya dalam usaha untuk menangani krisis iklim dan menyokong peralihan hijau.
Beliau berkata sebagai Timbalan Menteri Luar, beliau sedang giat berusaha untuk mengukuhkan hubungan antara sektor perniagaan Norway dan negara-negara ASEAN, sama ada melalui perkongsian dua hala dan dengan mempromosikan mengadakan libat urus lebih luas di seluruh rantau ini.
Mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia, Kravik berkata kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi yang telah lama terjalin khususnya dalam sektor seperti makanan laut dan minyak dan gas.
Pemeteraian perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) pada Jun lepas akan membuka peluang baharu, katanya.
Kravik menegaskan kepentingan sektor tradisional dan menyifatkan rangka kerja ekonomi semasa sebagai lebih kukuh dengan bidang baharu dan berptensi seperti pemerangkapan karbon, kitar semula, ekonomi bulat dan ekonomi biru.
"Wujud pelbagai peluang. Ini adalah soal mendapatkan orang yang sesuai untuk bercakap antara satu sama lain dan menjadi kreatif, saya berpandangan ia adalah tanggungjawab saya sebagai Timbalan Menteri Luar," katanya.
Kravik memberitahu beliau mengadakan beberapa mesyuarat dua hala semasa AMM di Kuala Lumpur termasuk dengan Perdana Menteri Malaysia, Menteri Luar, dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Apa yang penting pada semua sesi interaksi itu ialah terdapat kemahuan di kedua-dua pihak untuk memupuk lebih banyak aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata Norway sedang bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya dari Malaysia untuk mewujudkan rangka kerja kondusif di luar FTA yang baru ditandatangani dengan tujuan mewujudkan mekanisme praktikal untuk memudahkan libat urus ekonomi lebih mendalam antara kedua-dua negara.
AMM ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Mesyuarat itu berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.
-- BERNAMA