KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Skuad Hoki Lelaki Remaja Kebangsaan akan membuat 'debut' di Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India edisi ke-96 yang dijadualkan pada 10-20 Julai ini.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan memaklumkan skuad negara yang diberi julukan ‘Young Tigers’ akan menjadikan penampilan itu sebagai medan persediaan menjelang Piala Sultan Johor 2025 pada Oktober dan Piala Dunia Remaja Lelaki India pada 28 Nov- 0 Dis di Chennai dan Madurai, India.
KHM memaklumkan, Malaysia akan mengharungi empat aksi pusingan Kumpulan B bermula dengan perlawanan menentang India Navy pada 12 Julai di Stadium SDAT-Datuk Bandar Radhakrishnan di Chennai.
Skuad negara seterusnya dijadual bertemu Central Board Of Diriect Taxes Pada 13 Julai, Indian Oil Corporation Ltd (15 Julai) dan mengakhiri saingan Kumpulan B Bertemu Hockey Karnataka pada 16 Julai.
Ketua Jurulatih Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan Nor Saiful Zaini berharap penyertaan dalam kejohanan mampu meningkatkan prestasi pemain dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan pasukan serta membentuk keserasian yang lebih mantap dalam pasukan.
“Mereka perlu mencapai KPI kendiri untuk posisi serta menyempurnakan tugas masing-masing sebaik mungkin selain perlu berusaha lebih keras lagi untuk memperbaiki keserasian sepasukan.
“Kejohanan ini dianggap penting kerana mereka boleh mengukur kelemahan dan kelebihan diri serta pasukan. Ini juga dapat memperbaiki kelemahan yang ada sebelum Kejohanan Piala Sultan Johor serta Piala Dunia Remaja 2025," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan KHM hari ini.
Young Tigers, dengan 18 pemain dan tujuh pegawai akan berlepas ke Chennai pada 9.30 pagi esok, yang diharap dapat meraih sebanyak mungkin pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan mendapat permainan yang berintensiti tinggi.
-- BERNAMA