AM

PERKUKUH TVET, BEBASKAN BELIA SABAH DALAM KITARAN PENGANGGURAN

09/07/2025 02:13 PM

KOTA KINABALU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia di negeri ini berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini satu anjakan paradigma penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.

"TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan. Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.

"TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasakan individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada majlis perasmian Simposium TVET Sabah di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata kerajaan negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi, termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.

“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini.

"Saya juga menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka. TVET sepatutnya dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan dan inovator masa hadapan.

“Belia Sabah perlu merebut peluang untuk menyertai bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan hari ini selari dengan kehendak pasaran kerja semasa sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan,” katanya.

Hajiji berkata dalam era Revolusi Industri 4.0 dan gelombang pendigitalan, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi dan kecerdasan buatan (AI) menjadi aset amat bernilai.

“Jika belia Sabah tidak dilengkapi dengan kemahiran ini, kita akan ketinggalan dalam arus perubahan ini. Maka, TVET menjadi platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah,” katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan jelas dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dan pelaburan.

“Usaha-usaha yang kita kini mula membuahkan hasil. Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah menurun daripada kira-kira 8.2 peratus pada 2021 kepada 7.5 peratus pada 2023.

“Meskipun kadar ini masih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan, namun trend penurunan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan modal insan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Namun, beliau berkata data Jabatan Perangkaan menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran apabila lebih separuh atau 58.6 peratus daripada jumlah penganggur di negeri ini terdiri golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, manakala 55.8 peratus daripada keseluruhan penganggur hanya mempunyai kelayakan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja.

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa ramai belia memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, simposium bertemakan ‘TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri Sabah.

Hajiji berharap peserta dapat memanfaatkan peluang ini untuk mewujudkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri sepanjang dua hari simposium berlangsung.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan