Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN kini semakin diiktiraf dan menerima penghormatan pada peringkat antarabangsa, didorong oleh kepercayaan, keyakinan dan persahabatan yang kukuh dalam kalangan negara-negara anggotanya.
Merujuk kepada pertemuan terkininya dengan pemimpin dunia di Brazil, Itali dan Perancis, Anwar berkata tanpa pengecualian, setiap sesi dua hala mereka dengan Malaysia akan melibatkan perbincangan mengenai ASEAN, satu bukti jelas akan kedudukan ASEAN yang semakin meningkat di pentas global.
“Semua pihak mengiktiraf peranan ASEAN. ASEAN kini telah muncul dan mencapai kedudukan yang luar biasa, serta penghormatan dan pengiktirafan yang besar pada peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada anda semua, khususnya para menteri luar,” kata beliau berucap di pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di sini pada hari Rabu.
Perdana Menteri berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN telah menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus mengulangi tahap kepercayaan dan keyakinan yang ada dalam kalangan setiap negara anggota.
Anwar menyifatkan kekuatan ASEAN sebagai jaminan kepada keamanan dan pertumbuhan ekonomi, sambil menekankan bahawa perpaduan mesti dikekalkan demi melindungi kepentingan lebih 600 juta rakyat di rantau ini.
“Kekuatan ASEAN inilah jaminan keamanan, kekuatan ASEAN ini ialah jaminan pertumbuhan ekonomi dan kekuatan ini diharapkan untuk menjaga kepentingan rakyat ASEAN keseluruhannya,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata meskipun menghadapi cabaran seperti krisis Myanmar dan Konsensus Lima Perkara, pemimpin ASEAN telah menunjukkan semangat konsisten dalam keterlibatan, memberi sokongan dan saling memahami.
Anwar berkata ASEAN telah berhubung dengan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Mahn Win Khaing Than, serta “kita dapat meneruskannya dengan sokongan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh semua pemimpin”.
Merujuk kepada pertikaian sempadan di antara Kemboja dan Thailand, beliau berkata ASEAN bertindak dengan pantas dan secara kolektif, didorong oleh komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan.
“Kami sama sekali tidak teragak-agak untuk segera menghubungi rakan di kedua-dua negara bagi menyatakan keprihatinan dan menyokong segala inisiatif, bertujuan untuk menjamin keamanan yang berkekalan,” kata beliau.
Namun begitu, Perdana Menteri mengakui bahawa masih terdapat beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan dalam ASEAN, terutamanya menerusi perdagangan intra-ASEAN dan pelaburan bersama.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada pemimpin kanan ASEAN yang terdahulu dan masa ini, serta menteri-menteri luar atas peranan mereka dalam membina asas kepercayaan yang terus menggerakkan ASEAN.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula Selasa hingga Jumaat, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA