AM

PENUGASAN DOKTOR LOKUM DI JABATAN KECEMASAN HSI BERMULA MALAM TADI - EXCO NEGERI

09/07/2025 12:55 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Penugasan doktor lokum di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru bermula malam tadi sebagai inisiatif segera Kerajaan Negeri Johor bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dan jumlah pesakit yang banyak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tiang Soon berkata penempatan doktor lokum itu sebagai langkah awal susulan kekangan sumber manusia yang menjejaskan kecekapan perkhidmatan kecemasan, terutamanya di hospital-hospital utama negeri ini.

“Kita sedar beban kerja yang ditanggung petugas kesihatan, khususnya di Jabatan Kecemasan. Penugasan doktor lokum ini langkah segera Kerajaan Negeri Johor untuk membantu mempercepat rawatan serta mengurangkan masa menunggu. 

“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan lebih banyak doktor yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang kecemasan untuk menyertai inisiatif ini, kerana kehadiran mereka mampu memberikan rawatan berkualiti dan menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata lawatan mengejut malam tadi mendapati Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSI yang sepatutnya menempatkan hanya enam katil, kini menempatkan hingga 12 pesakit sekali gus memberi tekanan kepada petugas kesihatan.

Jabatan Kecemasan HSI adalah antara jabatan paling sibuk di negeri ini, dengan purata lebih 300 pesakit hadir setiap hari memandangkan lokasi hospital itu berhampiran kawasan perumahan padat dan kawasan perindustrian.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada kes-kes kecemasan (Zon Merah) dan serius (Zon Kuning), menyebabkan pesakit bukan kecemasan (Zon Hijau) terpaksa menunggu lebih lama.

Sehubungan dengan itu, pihak hospital bersetuju untuk menempatkan doktor lokum secara berperingkat, dan setakat ini hanya seorang doktor dapat ditugaskan setiap malam dari 8 malam hingga 12 tengah malam.

Inisiatif ini turut dirancang untuk dilaksanakan serentak di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Beliau berkata kehadiran doktor lokum on-call pada malam tadi telah membantu mempercepat proses panggilan pesakit di Zon Hijau yang selama ini terpaksa menunggu lama.

Semalam, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menitahkan kerajaan Persekutuan supaya segera mengisi kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang membelenggu beberapa hospital utama di negeri ini.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kritikal di HSA, HSI, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan beberapa hospital lain yang turut terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.

-- BERNAMA   

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan