ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tampil menzahirkan keprihatinan terhadap nasib anak sulung mangsa tragedi kemalangan enam sekeluarga apabila menawarkan tajaan penuh pengajian kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, di Sekolah Tajaan Zakat Kedah.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi agensi itu, LZNK memaklumkan tajaan tersebut merangkumi kos persekolahan penuh dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Hari ini, LZNK menziarahi kediaman ahli keluarga mangsa tragedi lemas yang menggemparkan negara semalam, membabitkan enam beranak maut apabila kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Korok.
“Dalam kunjungan tersebut, LZNK turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 serta kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan,” kata agensi itu.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah wakil Pusat Pengurusan Sedekah dan Wakaf Zakat Kedah, Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu dan pengurusan Sekolah Zakat Kedah.
Menurut LZNK, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan lembaga berkenaan dalam membantu golongan yang diuji musibah serta memastikan pendidikan anak-anak asnaf dan keluarga yang terkesan terus terbela demi masa depan mereka.
Putri Qisya Nur Izzat merupakan anak sulung kepada pasangan Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Affendi, 31, yang maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok dalam kejadian awal pagi Sabtu lepas.
-- BERNAMA