KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperuntukkan RM500,000 bagi pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang melibatkan lima sekolah terpilih di lima negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata peruntukan itu melibatkan masing-masing sebuah sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Bharu; SK Taman Datuk Harun 1, Petaling Jaya; SK Batu Rakit, Kuala Terengganu; Sekolah Pendidikan Khas Melaka; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Peramu Jaya, Pekan.
“Peruntukan bergantung kepada keperluan setiap sekolah, antaranya bagi menaik taraf infrastruktur, penyediaan pembelajaran digital serta penambahbaikan sistem pendingin hawa bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan relevan dengan keperluan pendidikan digital semasa,” katanya kepada pemberita selepas Program Bual Bicara Bank Islam 2025 di sini hari ini.
Sekolah Angkat MADANI dicetuskan hasil seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sektor korporat Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan, yang masih menyaksikan jurang ketara antara sekolah bandar dan luar bandar.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 20 Jun lepas memaklumkan hampir 1,000 sekolah telah dipilih dalam program Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan dengan kerjasama 117 syarikat swasta bertujuan untuk menangani jurang pendidikan di seluruh negara.
Sementara itu, mengenai isu penipuan dalam talian, Mohd Muazzam berkata orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi maklumat peribadi kepada pihak ketiga khususnya kata laluan bagi menjamin keselamatan kewangan pengguna.
“Bank mempunyai tahap keselamatan yang tinggi, namun semua pengguna khususnya golongan berusia perlu lebih cakna terhadap ancaman daripada penjenayah.
“Tukar kata laluan secara berkala bagi mengurangkan risiko,” katanya dan memaklumkan Bank Islam telah mengambil langkah pencegahan, termasuk mewujudkan pasukan khas yang memantau laman sesawang palsu dan pautan tidak sah berkaitan bank berkenaan.
-- BERNAMA