KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia mencatat potensi jualan sebanyak RM1.16 bilion di Pertunjukan Udara Antarabangsa Paris ke-55 (IPAS 2025), menandakan satu pencapaian penting bagi aspirasi negara dalam eksport berteknologi tinggi.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata IPAS 2025 yang diadakan dari 16 hingga 22 Jun 2025 di Le Bourget, Perancis berfungsi sebagai platform bagi Malaysia mempamerkan ekosistem aeroangkasa yang semakin berkembang.
Katanya, ia merangkumi pembuatan berteknologi tinggi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan penerbangan serta teknologi Angkasa Baharu (New Space).
“Delegasi Malaysia mengadakan 145 mesyuarat perniagaan berimpak tinggi dengan pembeli global, pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pihak berkepentingan strategik.
“Sebelas syarikat Malaysia mengambil bahagian mewakili subsektor utama seperti struktur aero komposit, sistem pesawat, teknologi berkaitan pertahanan, set jana kuasa berkuasa hidrogen dan pembuatan sarung kipas,” kata MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata pencapaian memberangsangkan di pertunjukan udara berkenaan menunjukkan keyakinan global yang semakin meningkat terhadap keupayaan aeroangkasa Malaysia secara menyeluruh meliputi kejuruteraan ketepatan, MRO, sehingga kepada inovasi Angkasa Baharu.
“Momentum ini mencerminkan penglibatan Malaysia yang semakin mendalam dalam rantaian bekalan global khususnya di Eropah dan Asia-Pasifik. Pengeksport Malaysia perlu merebut peluang ini untuk memperluaskan jejak mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mohd Mustafa berkata eksport aeroangkasa Malaysia mencecah RM3.63 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2025, menandakan daya tahan dan kepentingan berterusan sektor tersebut.
Sementara itu, MATRADE berkata penyertaan Malaysia dalam IPAS selaras dengan aspirasi strategik negara seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Menurut MATRADE, kedua-dua pelan induk berkenaan mengenal pasti sektor aeroangkasa sebagai pemacu utama perubahan perindustrian masa depan.
“Dengan ekosistem rantaian bekalan yang diperakui, dasar mesra pelabur dan tenaga kerja yang sangat mahir, Malaysia menawarkan kepada pemain aeroangkasa global satu pusat kerjasama yang menarik dan kompetitif di Asia Tenggara,” katanya.
-- BERNAMA