AM

VAPE: KERAJAAN NEGERI AKAN JUMPA PEMAIN INDUSTRI SEBELUM BUAT KEPUTUSAN - EXCO

05/07/2025 03:23 PM

TANJONG MALIM, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri akan bertemu dengan penggiat industri rokok elektronik, atau vape, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan larangan penjualan produk itu di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata satu kajian menyeluruh sedang dilakukan daripada pelbagai sudut agar tidak menimbulkan sebarang masalah selepas larangan penjualan vape dilaksanakan.

Beliau berkata kajian itu, yang diketuai Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha, turut membabitkan pihak pemain industri sebelum sebarang keputusan diambil pada Ogos ini. 

"Kita mahu mendengar pandangan mereka dan sudah pasti larangan itu kelak akan memberi impak negatif kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan rakyat.

"Saya juga exco yang bertanggungjawab terhadap sumber manusia dan andai kata ada 50 pekerja, ia melibatkan 50 keluarga yang mungkin terkesan... jadi, semua sudut kena kaji," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 Peringkat Negeri Perak di Hospital Slim River di sini hari ini. 

Sivanesan berkata beliau turut mengesyorkan agar Kerajaan Persekutuan menyelaraskan undang-undang yang berkaitan dengan vape di seluruh negara.

“Jika arahan terus daripada menteri atau Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri maka lagi mudah kita lakukan pelaksanaannya di seluruh negara. 

"Katakan Perak laksanakan larangan namun negeri jiran tidak, maka akan berlaku pula isu penyeludupan kerana ada negeri yang benarkan... jadi, jika nak laksanakan maka seluruh negara kena lakukan," katanya. 

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri masih memperhalusi dan menjalankan kajian mendalam berhubung cadangan pelaksanaan larangan penjualan vape di Perak.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan