KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2025.
RUU dibentangkan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan itu bagi membubarkan 16,728.9 hektar hutan simpan untuk tujuan pembangunan sosioekonomi negeri.
Ia melibatkan sebahagian Hutan Simpan Sipitang seluas 15,978 hektar dalam Kelas II, Safoda Kinarut (320.9 hektar, Kelas IV), Sungai Tiagau (162 hektar, Kelas I), Bengkoka Peninsula (158 hektar, Kelas V), Trus Madi (55 hektar, Kelas II), Umas-Umas (28 hektar, Kelas VI), Sungai Serudong (23 hektar, Kelas I), Kudat (tiga hektar, Kelas V) dan Tawau (satu hektar, Kelas I).
RUU itu diluluskan dengan suara terbanyak selepas dibahaskan tujuh Ahli DUN Sabah.
Nizam berkata hutan simpan yang dibubarkan itu juga adalah bagi tujuan penempatan 12,012 orang penduduk melibatkan 40 kampung sedia ada di daerah Sipitang, Tenom, Kemabong, Tawau, Kalabakan, Ranau dan Pitas.
Beliau berkata pembubaran hutan simpan itu juga bagi memberi laluan kepada pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong-Simanggaris serta pembangunan sosioekonomi setempat pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri melalui Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai dijadikan kawasan hutan simpan serta mempunyai keluasan yang sama bagi menggantikan kawasan hutan simpan dibubarkan ini.
“Pembubaran kawasan hutan simpan ini tidak menunjukkan perubahan yang signifikan ke atas keluasan keseluruhan hutan simpan dengan penurunan 0.47 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan keluasan hutan simpan Sabah,” katanya.
Nizam berkata Sabah masih mempunyai 3.55 juta hektar hutan simpan meski pun dengan pembubaran itu.
Beliau berkata langkah berkenaan dilaksanakan demi kebajikan rakyat Sabah terutamanya penduduk luar bandar yang memerlukan kawasan untuk penempatan dan sara hidup.
“Langkah ini telah melalui proses pemilihan dan pemeriksaan teliti serta disokong dengan justifikasi kukuh seperti penempatan penduduk sedia ada yang mestilah warganegara Malaysia bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan RUU itu .
Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang dalam proses mewartakan beberapa kawasan hutan sedia ada sebagai hutan simpan dan beberapa kawasan tanah kerajaan sebagai kawasan perlindungan di bawah peruntukan Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968.
-- BERNAMA