AM

PERPUSTAKAAN SABAH CATAT 474,399 PENGUNJUNG DARI JANUARI HINGGA JUN

08/07/2025 03:55 PM

KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) -- Perpustakaan Negeri Sabah telah mencatatkan sebanyak 474,399 pengunjung sejak Januari hingga Jun tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Harun Durabi berkata pada tahun lepas, sebanyak 1.34 juta orang direkodkan mengunjungi seluruh rangkaian perpustakaan negeri.

“Dalam usaha meningkatkan jumlah pengunjung, pihak perpustakaan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dan program sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Jaffari Waliam (GRS-Libaran) yang ingin tahu statistik kehadiran terkini pembaca yang berkunjung ke perpustakaan negeri ini pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Harun berkata bagi menarik ramai pembaca, perpustakaan juga akan mengadakan Minggu Perpustakaan yang dijadualkan pada Ogos serta Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak pada Oktober depan.

Pihak perpustakaan juga, katanya memperluas akses kepada bahan digital dengan menyediakan bantuan tablet kepada 10 perpustakaan cawangan bagi membolehkan pengunjung mengakses e-buku.

“Usaha ini dijangka menarik lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan kemudahan di perpustakaan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan