KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung.
Kementerian Luar dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, pada pertemuan itu kedua-dua pemimpin telah menilai status kerjasama dua hala antara kedua-dua negara yang telah dibincangkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina yang telah diadakan pada Oktober 2024.
“Kedua-dua pihak turut memperbaharui komitmen untuk bekerjasama dalam bidang-bidang yang memberi faedah kepada kedua-dua negara,” menurut hantaran tersebut.
Lazaro dilantik sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar baharu Filipina berkuat kuasa 1 Julai, menggantikan Enrique Manalo yang kini menjadi wakil tetap Filipina ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi termasuk menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan luar ASEAN, diplomat kanan dan pegawai-pegawai untuk membincangkan pelbagai isu global dan serantau yang mendesak, memperkukuh kerjasama dan memajukan agenda keselamatan serta kelestarian di rantau ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM ke-58 yang merupakan sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA