PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Inisiatif Rakyat Digital yang diterajui Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation sedang menggerakkan usaha besar-besaran untuk meningkatkan literasi digital rakyat Malaysia, dengan menawarkan pelbagai kursus dalam talian secara percuma.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu tonggak penting dalam perjalanan ke arah menjadi negara digital yang maju, selaras dengan matlamat menjadikan keupayaan digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan daya saing global.
“Susulan kejayaan program AI untuk Rakyat, dengan lebih sejuta rakyat menyertai program ini dalam tempoh enam bulan, dengan kesemua pengguna kini menjadi sebahagian daripada inisiatif Rakyat Digital
“Kini, inisiatif Rakyat Digital telah meluaskan penawaran dengan menawarkan lebih banyak kursus percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind berkata pelbagai kursus percuma ditawarkan, iaitu “CyberSAFE untuk Rakyat”, “Generatif AI”, “Cloud untuk Rakyat”, “AI Fluency”, dan “Blockchain untuk Rakyat”.
“Kursus baharu seperti Data untuk Rakyat, dan Quantum untuk Rakyat akan diperkenalkan tidak lama lagi untuk memperdalam pengetahuan digital rakyat,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu menyatukan kerajaan dan rakan industri dari seluruh negara, termasuk penyumbang seperti Cybersecurity Malaysia, Intel, iTrain, Microsoft dan Trainocate.
Kesemua rakan industri itu secara bersama menyediakan modul dalam talian yang praktikal dan interaktif untuk memperkukuh keupayaan digital negara.
“Model kolaboratif ini menggabungkan kepimpinan sektor awam dengan kepakaran industri. Kementerian Digital secara aktif berinteraksi dengan semua rakan strategik untuk menjayakan agenda peningkatan kemahiran dan mengalu-alukan kerjasama baharu,” katanya.
Beliau berkata jalinan kerjasama itu dapat meningkatkan kecekapan kos, dengan rakan industri menyediakan kandungan bernilai tinggi secara percuma, dan membolehkan latihan berkualiti tinggi dapat diakses oleh orang ramai tanpa sebarang bayaran serta memperluas capaian dan impak.
Inisiatif Rakyat Digital yang dilancarkan pada Disember lepas membawa pelbagai manfaat kepada rakyat, iaitu kebolehcapaian dan inklusif, pembelajaran fleksibel, dan pengalaman lancar.
Untuk maklumat lanjut dan melihat senarai kursus yang ditawarkan, rakyat Malaysia dipelawa untuk melayari laman sesawang rakyatdigital.gov.my.
-- BERNAMA