Daripada Arul Rajoo Durar Raj
RIO DE JANEIRO, 8 Julai (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
Anwar berkata selain memperkukuh kerjasama dua hala, lawatan itu turut membuka peluang baharu dalam usaha menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan Malaysia
“Lawatan yang bermula di Itali pada 1 Julai lepas turut berjaya meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya pada sidang media semasa mengakhiri lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil yang bermula pada 1 Julai lepas.
Beliau berkata siri lawatan itu turut membuka jaringan lebih luas kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa.
Hasil lawatan kerja tiga hari ke Itali, potensi pelaburan berjumlah lebih RM8 bilion berjaya dijana, manakala di Perancis, nilai potensi pelaburan dianggarkan sekitar RM4 bilion.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri diiringi lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Delegasi perniagaan pula terdiri daripada wakil syarikat korporat utama dan perusahaan inovatif Malaysia, antaranya Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.
Lawatan rasmi pertama Anwar ke Itali adalah atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni dan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor strategik.
Selain memfokus kepada pelaburan dan perdagangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut membincangkan isu-isu geopolitik dengan para pemimpin berkenaan.
Beliau berkata Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap isu kemanusiaan di Asia Barat, khususnya mengenai Gaza dan serangan ke atas Iran.
Menurut Anwar, Meloni, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva turut senada dalam menyuarakan keprihatinan terhadap situasi di Gaza yang telah mengorbankan kira-kira 56,000 nyawa.
"Macron memang telah mengeluarkan kenyataan, tetapi Meloni menyatakan persetujuan untuk menghentikan serangan. Beliau menyebut tentang serangan Israel, menyokong usaha perdamaian dan prinsip penyelesaian dua negara, yang bermaksud mengiktiraf negara Palestin," katanya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa lawatan itu lebih menguntungkan negara Eropah, khususnya berhubung pembelian pesawat, Anwar menjelaskan bahawa langkah tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia.
"Tempahan pesawat dibuat oleh syarikat seperti AirAsia dan Malaysia Airlines, namun kerajaan juga mahu Malaysia mendapat faedah secara langsung,” katanya.
Anwar berkata Malaysia mahu syarikat pembekal pesawat seperti Airbus dan Embraer menjadikan negara ini sebagai hab bagi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan serta rantaian bekalan.
Di Brazil, semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS, Malaysia turut mendapat perhatian apabila Anwar diberi peluang berucap pada Forum Perniagaan BRICS yang turut dihadiri Presiden Brazil.
"Forum itu dirasmikan dengan ucaptama oleh Presiden Brazil, dan Malaysia diberi keutamaan walaupun status bukan ahli penuh BRICS."
Menurut Anwar, beliau mengambil peluang itu untuk menekankan kepentingan keadilan antara negara maju dan membangun, serta tadbir urus teknologi kecerdasan buatan.
Kunjungan ke Brazil turut membuka ruang kepada Anwar untuk bertemu beberapa pemimpin dunia dan ketua pertubuhan antarabangsa.
Di Rio de Janeiro, Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa serta rakan sejawatannya dari India Narendra Modi dan Pham Minh Chinh dari Vietnam serta Mostafa Madbouly (Mesir).
Selepas pertemuan dengan Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB) Dilma Rousseff, Anwar berkata keputusan sama ada Malaysia akan menyertai bank tersebut akan dibuat selepas kajian terperinci oleh Bank Negara Malaysia.
Menurut Anwar, beberapa syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson Production telah berjaya menembusi pasaran Brazil.
-- BERNAMA