Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani and Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia bakal meraih manfaat besar daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil, bukan sahaja menarik pelaburan berpotensi, malah memperluas pasaran eksport dalam kecenderungan dasar perlindungan daripada tarif Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan perdagangan global.
Sebagai sebuah negara yang berorientasikan eksport, menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menembusi pasaran baharu dan memperluas pasaran tradisional untuk meningkatkan peluang perniagaan, menerima teknologi baharu dan menjana peluang pekerjaan baharu daripada pelaburan asing.
Keadaan menjadi semakin kritikal disebabkan tarif AS yang meluas dan mengejutkan, menjejaskan sistem perdagangan global sedia ada, menyebabkan banyak negara mencari pasaran baharu untuk eksport mereka.
Bagi negara barat dan negara maju di Asia, Malaysia dan pasaran ASEAN menawarkan peluang yang baik untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta memperluas pasaran.
Sehubungan itu, tindakan Anwar adalah wajar. Ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini apabila Perdana Menteri giat memberi tumpuan kepada memperluas dan meninjau pasaran baharu untuk negara, mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan tempatan dan ekonomi Asia Tenggara secara keseluruhannya.
Berdasarkan cabaran yang mendatang daripada tarif lebih tinggi dan kecenderungan dasar perlindungan yang meningkat, usaha berterusan Anwar untuk ‘menjual’ Malaysia sebagai destinasi pelaburan dalam lawatan beliau ke Itali, Perancis dan Brazil adalah amat wajar.
Itali dan Perancis merupakan anggota utama Kesatuan Eropah (EU), menyediakan Malaysia pintu masuk ke pasaran tunggal yang terdiri daripada 27 negara anggota — peluang yang memberi manfaat kepada eksport negara.
Lawatan ini tepat pada masanya berikutan Malaysia dan EU berada di ambang untuk memulakan semula rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) yang tertangguh sebelum ini.
Walaupun rundingan FTA telah tertangguh selama lebih sedekad, inisiatif Anwar yang dalam lawatan ke Jerman tahun lepas, memutuskan untuk menyambung semula rundingan tersebut, selepas menyedari potensi manfaatnya.
Apabila Washington mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia ke AS, adalah wajar bagi Putrajaya untuk mempertimbangkan meluaskan pasaran eksport ke negara lain.
Kemungkinan untuk meningkatkan akses pasaran bagi eksport domestik melalui kejayaan MEUFTA dan menarik pelaburan Eropah ke Malaysia adalah amat besar.
Dalam pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri Itali Giorgio Meloni di Rom, kedua-dua pihak membincangkan kerjasama yang lebih baik dalam perdagangan, pelaburan, pertahanan, tenaga mampan dan kemajuan teknologi termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan.
Selain meraih potensi pelaburan bernilai RM8 bilion dari Itali, Perdana Menteri juga secara peribadi menjemput syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI melabur di Malaysia.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan syarikat Itali dalam Zon Ekonomi Khas Malaysia serta pelaksanaan program latihan industri, memfokuskan kepada perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi.
Lawatan kerja beliau ke Perancis juga tidak kurang pentingnya apabila pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron menjana hasil positif, dengan pemeteraian perjanjian mengenai mineral dan pembelian pesawat serta potensi pelaburan sebanyak RM4 bilion.
Dalam pertemuan itu, beliau menjelaskan kepada Macron bahawa Malaysia terus menjadi destinasi utama untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E).
Kehadiran Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro minggu ini menjadi lebih bermakna apabila ia menawarkan peluang kepada Malaysia untuk meneroka pasaran baharu dalam kalangan negara yang mempunyai pemikiran sama termasuk kuasa ekonomi utama, dengan lebih penekanan kepada perdagangan dan pelaburan.
Lawatan beliau ke Brazil adalah relevan apabila beliau bertemu Francisco Gomes Neto, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar pesawat Brazil, Embraer apabila beliau menekankan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem industri penerbangannya.
Anwar turut berkongsi kesediaan Malaysia untuk membantu pelabur asing menerusi dasar-dasar yang mesra pelabur, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama teknologi berimpak tinggi.
Ini seiring dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di ASEAN dengan kapasiti tenaga kerja mahir tinggi selain ekosistem perindustrian yang kukuh dan kompetitif.
Hasil penting daripada luar sidang kemuncak BRICS adalah usaha Malaysia untuk meneliti secara menyeluruh potensi keanggotaannya dalam Bank Pembangunan Baharu (NDB) yang sebelum ini dikenali sebagai Bank Pembangunan BRICS.
Sebagai sebuah bank pembangunan pelbagai hala yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun, NDB menawarkan alternatif pembiayaan yang berdaya saing, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mempelbagaikan sumber pembangunan infrastruktur dan mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau.
Mengulas lawatan kerja Anwar, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tarif AS telah mencetuskan pelbagai pihak berkuasa untuk meneliti semula strategi perdagangan masing-masing.
Sebahagian besar daripada negara itu turut meninjau potensi rakan dagang baharu, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi Malaysia untuk lebih terangkum.
Katanya MEUFTA dapat membuka lebih banyak peluang bagi minyak sawit Malaysia menembusi pasaran EU yang lumayan.
BRICS juga menawarkan akses pasaran lebih besar terhadap industri Malaysia selain pelaburan dan perdagangan antarabangsa selain menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang juga nadi sektor pembuatan Malaysia untuk berkembang dan seterusnya menembusi pasaran berkenaan.
“Pada akhirnya, lebih banyak sumber perlu disasarkan ke arah pembangunan kapasiti, terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menjadi perusahaan yang bersedia melakukan eksport,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyambut baik misi perdagangan dan pelaburan Anwar ke luar negara, apalagi dalam senario cabaran global pada masa ini.
“Pendekatan Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk menjalin lebih banyak libat urus selain hubungan dua hala dan diplomatik dengan negara-negara lain yang sememangnya tindakan wajar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata adalah penting bagi Malaysia mempunyai ekosistem perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif.
“Inilah yang sedang diusahakan kerajaan dan diharapkan manfaatnya bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.
Delegasi perniagaan Malaysia ke Itali, Perancis dan Brazil itu turut disertai barisan pegawai Petronas, Khazanah Nasional, Tenaga Nasional, Maybank, FGV, YTL Power, Sunway dan Yinson Production.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menyifatkan kehadiran Anwar di Sidang Kemuncak BRICS serta siri mesyuarat dua hala, hanya membuktikan lagi usaha melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Selatan Global.
Langkah memperkukuh hubungan dengan pemimpin dari India, Afrika Selatan dan Vietnam selain eksekutif kanan lain seperti Ketua Pegawai Eksekutif Embraer, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Presiden NDB — mengetengahkan isyarat jelas bahawa Malaysia sedang meneroka kerjasama yang pelbagai untuk membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, teknologi serta pelaburan.
“Penglibatan sedemikian boleh membuka jalan kepada integrasi rantaian bekalan yang lebih mendalam, terutama sektor pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa dan perdagangan digital,” kata Innes.
Dalam pada itu, Innes dan Mohd Afzanizam juga sependapat bahawa Malaysia akan menyaksikan lebih banyak misi perdagangan dan pelaburan asing berikutan Anwar serta pemimpin yang beliau temui, juga menyedari keperluan senario semasa yang bukan lagi seperti sebelumnya.
Mesej yang dipaparkan oleh Perdana Menteri juga jelas : negara-negara mesti meninjau dan saling menjalin kerjasama untuk meningkatkan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan, membangunkan pakatan perniagaan serta meraih manfaat di tengah-tengah pendekatan dasar perlindungan yang semakin berleluasa.
-- BERNAMA