AM

AHMAD ZAHID UCAP TAHNIAH TIGA ANAK MUDA NEGARA JUARA TAG TEAM INTERNATIONAL BARBER BATTLE

07/07/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada tiga anak muda negara yang berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan Turf & Gatsby International Barber Battle Bali Expo 2025 di Indonesia baru-baru ini.

Malaysia yang diwakili Muhamad Aiman Ms Saad, Muhammad Faikandar dan Muhammad Nazzim Safian menewaskan wakil dari 15 negara lain untuk muncul juara kategori Tag Team Barber Battle.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kejayaan itu membuktikan anak desa Malaysia mampu mengukir nama di pentas global dengan kemahiran, gaya dan keyakinan.

“Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih bermakna, Aiman dan Faikandar merupakan peserta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diadakan di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini. 

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangga melihat bakat luar biasa anak-anak muda negara yang membuktikan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti seni gunting rambut bukan lagi sekadar alternatif, tetapi satu laluan masa depan.

“Teruskan menyinar! Kalau ada masa... Boleh datang ke pejabat gunting rambut saya tak?” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan