KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Parlimen Malaysia atas penganjuran Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 sepanjang tahun ini.
Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Mohd Nor Hamzah berkata AIPA ke-46 yang dianjurkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dipengerusikan Malaysia, telah berjaya dilaksanakan dengan tersusun dan penuh wibawa.
“Dewan pada hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha yang cemerlang ini dan mendoakan Sidang Kemuncak AIPA ke-46 mencapai kejayaan gemilang serta memperkukuh kedudukan Institusi Legislatif Malaysia di persada rantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DUN Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Mohd Nor berkata tahun ini Malaysia berjaya menganjurkan beberapa siri mesyuarat penting AIPA termasuk Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) di Sarawak pada April, Mesyuarat Perundingan Kedua Ahli Parlimen Muda AIPA di Selangor pada Mei dan Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) di Pahang pada Jun.
“Kesemua mesyuarat ini merupakan platform membincangkan isu penting seperti peranan wanita, belia, keselamatan sosial dan dadah serta penyelarasan dasar yang menyokong pembangunan inklusif dan ASEAN yang lestari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sidang Kemuncak AIPA ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 22 Sept ini di Kuala Lumpur sebagai kemuncak kepada semua sesi perundingan, merupakan medan penting untuk Malaysia mengetengahkan kepimpinan Parlimen dalam menjayakan Visi Komuniti ASEAN 2045.
-- BERNAMA