DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH

07/07/2025 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia merosot untuk dibuka rendah pada Isnin berikutan prestasi semalaman Wall Street yang negatif menjelang tarikh akhir pelaksanaan tarif balas pada Rabu ini.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 13.66 mata atau 0.88 peratus kepada 1,536.53 daripada 1,550.19 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran sebelum ini dibuka rendah 5.45 mata kepada 1,544.74.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 436 kaunter rugi mengatasi 63 kaunter untung. Sebanyak 214 kaunter tidak berubah, 1,691 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 276.83 juta saham bernilai RM189.99 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan akan memulakan minggu ini dengan sentimen berhati-hati, didorong oleh indeks niaga hadapan Wall Street yang rendah dan tarikh akhir tarif yang semakin hampir pada Rabu ini, selain pelan Amerika Syarikat (AS) untuk mengehadkan penghantaran cip AI ke Malaysia dan Thailand.

“Bagaimanapun, kemasukan semula dana asing dan penilaian rendah FBM KLCI dijangka dapat meredakan risiko penurunan buat masa ini, disokong oleh fokus pelaburan pusat data, sektor yang dipacu oleh permintaan domestik dan jangkaan pelaksanaan projek infrastruktur utama,” katanya.

“Kami kekal positif terhadap sektor pembinaan dan utiliti manakala kaunter amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka terus meraih manfaat jika Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM9.73, Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing berkurangan enam sen kepada RM4.32 dan RM14 serta CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing susut tiga sen kepada RM6.74 dan RM6.72.

Dalam dagangan aktif, NexG naik satu sen kepada 41 sen, TWL dan Borneo Oil, masing-masing kekal tidak berubah pada 25 sen dan setengah sen manakala Nationgate merosot 16 sen kepada RM1.62 dan SNS Network berkurangan tiga sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 121.88 mata kepada 11,495.84, Indeks FBMT 100 berkurangan 119.59 mata kepada 11,271.11 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 133.25 mata kepada 11,271.11.

Indeks FBM 70 berkurangan 260.31 mata kepada 16,526.73 dan Indeks FBM ACE merosot 53.96 mata kepada 4,472.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 74.28 mata kepada 17,716.94, Indeks Perladangan merosot 18.65 mata kepada 7,430.09, Indeks Tenaga susut 8.78 mata kepada 732.83 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.50 mata kepada 154.58.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan