Oleh Ahmad Idzwan Arzmi
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Ketika perniagaan bakeri dalam talian yang diusahakan merosot semasa pandemik COVID-19, sepasang suami isteri menukar haluan dengan memilih perniagaan ayam goreng apabila mendapati wujudnya gelombang minat orang ramai terhadap sajian itu terutama keluaran tempatan.
Bagaimanapun, bagi Lailatul Sarahjana Mohd Ismail, 34, dan suaminya, Mohd Taufik Khairuddin, 34, keputusan itu diambil selepas mengkaji potensi pasaran dan kehendak orang ramai yang mahukan lebih banyak produk buatan Malaysia.
"Saya buat penyelidikan dan pembangunan produk selama tiga bulan, manakala Taufik tumpu kepada penyelidikan pasaran dan penjenamaan. Kami bermula hanya satu gerai di Mydin Senawang, mendapat sambutan yang sangat baik, lalu kami membuat keputusan untuk membuka restoran makanan segera.
"Maka lahirlah jenama ‘Ahmad’s Fried Chicken’, sesuai dengan aspirasi kami untuk menghasilkan produk Malaysia yang boleh dibanggakan. Pemilihan nama jenama itupun kami ambil sempena nama timangan suami yang diberikan bapanya, yang turut mewakili identiti tempatan yang dekat di hati masyarakat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Lailatul Sarahjana yang pernah bekerja di sektor perbankan berkata peralihan kepada industri makanan segera bukanlah satu perkara mudah, namun pengalaman lepas banyak membantu dari segi pengurusan dan automasi.
Bagi memastikan rasa makanannya kekal konsisten, pasangan itu mendapatkan nasihat pakar industri makanan dan minuman (F&B) serta menjalankan pelbagai kajian sebelum memuktamadkan resipi ayam goreng mereka.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pasangan itu untuk mencapai kualiti yang diinginkan, namun Ahmad’s Fried Chicken ditawarkan pada harga yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Buat masa ini, resipi dan adunan tepung adalah hasil usaha kami sendiri untuk mengekalkan kawalan kualiti, namun cabaran utama masih datang daripada jenama antarabangsa yang mempunyai kelebihan dari segi rantaian bekalan dan perladangan kontrak,” kata anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu.
Beliau berkata Ahmad’s Fried Chicken kini beroperasi melalui model pelesenan dengan kos pembukaan cawangan antara RM700,000 hingga RM1 juta bergantung kepada saiz dan lokasi.
Setakat ini, sebanyak 38 cawangan telah beroperasi di seluruh negara merangkumi restoran dan mini restoran, dengan sasaran untuk mencapai 66 cawangan menjelang akhir 2025.
“Kami buka cawangan secara berhemat, tertumpu kepada kawasan bandar yang terdekat terlebih dahulu kerana semua bahan mentah termasuk ayam perlu dibekalkan dari ibu pejabat kami di Puchong, Selangor,” katanya.
Lailatul Sarahjana berkata pihaknya kini aktif mencari rakan niaga strategik dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempercepat pengembangan cawangan.
“Kami perlukan 10 lagi rakan niaga PKS untuk capai sasaran tahun ini. Setakat ini, lebih 1,000 permohonan sudah diterima dan sedang dalam proses penilaian,” katanya.
Mengulas isu boikot terhadap jenama antarabangsa, Lailatul Sarahjana berkata penubuhan Ahmad’s Fried Chicken bukan semata-mata sebagai reaksi, malah juga bertujuan menyediakan pilihan tempatan yang mampu menyaingi daripada segi kualiti.
“Kami bukan bersaing secara agresif, tetapi mahu beri pilihan yang lebih dekat dengan rakyat seperti rasa, saiz hidangan dan sajian yang memang dicipta khas untuk selera tempatan. Isu boikot mungkin bantu tarik perhatian, tapi akhirnya kualiti yang akan menentukan," katanya.
Ketika ditanya sama ada Ahmad's Fried Chicken berhasrat untuk menjadi francaisor, beliau berkata jenama itu masih belum layak kerana belum mencapai tempoh tiga tahun yang ditetapkan bagi tujuan itu.
“Kami sedang berbincang dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) untuk mendapatkan panduan berkenaan pembukaan francais. Sasaran kami adalah pasaran luar negara seperti Arab Saudi dan Amerika Syarikat,” katanya.
-- BERNAMA