ISTANBUL, 5 Julai (Bernama-Anadolu) -- Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Jumaat mengulangi “kepentingan yang sangat penting” untuk melibatkan Iran bagi menyambung semula pemeriksaan nuklear, selepas Tehran menggantung kerjasama dengan organisasi itu susulan konflik 12 hari berkaitan program nuklearnya dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik satu kenyataan, laporan itu menyatakan Rafael Grossi mengulangi kepentingan yang sangat penting bagi IAEA untuk berbincang dengan Iran mengenai kaedah menyambung semula aktiviti pemantauan dan pengesahan yang amat diperlukan di Iran secepat mungkin
Dalam kenyataan berasingan, IAEA memaklumkan para pemeriksanya yang kekal berada di Iran semasa konflik baru-baru ini akibat serangan Israel telah kembali ke ibu pejabat agensi itu di Vienna.
Israel telah menyerang lokasi ketenteraan dan nuklear Iran pada 13 Jun, menyebabkan beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis kanan negara itu terbunuh sehingga mencetuskan serangan balas.
Amerika Syarikat kemudiannya turut terlibat dalam konflik itu apabila mengebom tiga kemudahan nuklear di Iran.
Gencatan senjata yang ditaja AS berkuat kuasa pada 24 Jun.
Pegawai Iran mengkritik IAEA kerana gagal mengecam serangan Israel dan AS, selain meluluskan satu resolusi pada 12 Jun yang menuduh Tehran tidak mematuhi kewajipan nuklearnya.
Iran turut menuduh Grossi bertindak sebagai pengintip untuk Israel dan mengumumkan bahawa beliau tidak lagi dibenarkan memasuki negara itu.
Pada 25 Jun, Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan IAEA.
Majlis Penjaga, badan pengawasan perlembagaan Iran mengesahkan undang-undang itu sehari kemudian dan ia mula berkuat kuasa pada 2 Julai dengan tandatangan Presiden Masoud Pezeshkian.
Iran menyatakan ia masih komited kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), namun tidak lagi mempercayai IAEA.
-- BERNAMA-ANADOLU