JITRA, 5 Julai (Bernama) -- Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di susur masuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, pada 8.05 pagi tadi.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata sebelum kejadian, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu terserempak dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.
"Suspek yang tidak memberikan kerjasama kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis sehingga berlaku berbalas tembakan dan menyebabkan kedua-dua lelaki itu maut di dalam kenderaan di lokasi kejadian.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menemukan dua pucuk pistol jenis revolver dan separa automatik, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata seorang daripada suspek yang berusia 41 tahun mempunyai lebih 40 rekod jenayah lampau manakala identiti seorang lagi lelaki masih belum diketahui berikutan tiada pengenalan diri.
"Kita percaya mereka terlibat dalam satu kumpulan besar yang melakukan jenayah kekerasan di seluruh negara, antaranya melibatkan kes pengedaran dadah, gangsterisme, pecah kilang dan samun. Kumpulan ini dipercayai mulai aktif sejak 2020.
"Setakat ini, Unit Foresik telah menjumpai tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat," katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus yang turut ke lokasi kejadian berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dengan pelbagai jenayah berat.
"Kita sedang siasat sama ada suspek-suspek ini terlibat dengan kumpulan penjenayah di Klang, Selangor. Kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai lebih 30 ahli dan polis akan mengambil tindakan lebih agresif," katanya.
-- BERNAMA