EKONOMI

KAWALAN KE ATAS HARTANAH BAHARU SINGAPURA BERI IMPAK MINIMUM KEPADA PROJEK MILIK MALAYSIA

04/07/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Langkah kawalan ke atas pasaran hartanah bertujuan menurunkan harga oleh Singapura dijangka memberi kesan minimum terhadap projek hartanah milik syarikat Malaysia di republik itu, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, HLIB menjelaskan langkah tersebut menyasar untuk mengekang segmen pembeli yang bersifat amat spekulatif, yang lazimnya cenderung untuk menjual semula hartanah dalam tempoh tiga tahun, biasanya sebelum projek disiapkan.

Kerajaan Singapura dilaporkan mengumumkan langkah kawalan baharu itu semalam, yang melibatkan duti setem penjual (SSD) untuk hartanah kediaman.

Menerusi langkah itu tempoh pegangan hartanah dilanjutkan daripada tiga tahun kepada empat tahun dan menaikkan kadar SSD sebanyak empat mata peratusan bagi setiap peringkat, berkuat kuasa hari ini.

HLIB memaklumkan pihaknya menjangkakan kesan tersebut dialami terutama dalam pasaran pelancaran baharu, khususnya bagi unit yang lebih kecil, yang sering menarik minat pelabur spekulatif kerana kuantumnya lebih rendah dan mudah untuk dijual semula.

“Bagaimanapun, semakan ke atas SSD ini adalah agak sederhana kerana ia hanya memanjangkan tempoh pegangan selama setahun, daripada tiga kepada empat tahun, manakala penjualan selepas tempoh empat tahun masih dikecualikan daripada SSD.

“Oleh itu, kami menjangkakan kesan keseluruhan terhadap pemaju adalah minimum memandangkan permintaan tulen daripada pembeli akhir serta minat pelabur jangka masa panjang diunjurkan kekal stabil,” tambahnya.

Bagaimanapun, langkah itu menunjukkan hala tuju dasar kerajaan Singapura yang cenderung untuk memperketatkan lagi kawalan ke atas pasaran hartanah, berbanding melonggarkannya, menurut HLIB.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan