SEREMBAN, 4 Julai (Bernama) -- Tujuh individu termasuk pemandu cedera ringan selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terlanggar palang had ketinggian dalam kejadian di Jalan Arab Malaysian, di Nilai malam ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Azmi Hamid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an itu kira-kira 10.30 malam.
“Bas yang membawa 19 penumpang terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Melaka.
“Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di zon hijau Hospital Serdang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Beliau berkata kerja penyelamatan membabitkan sembilan anggota itu ketika ini sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan berlaku pada kira-kira 11.25 malam dan siasatan awal mendapati bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 62 tahun itu menggunakan aplikasi navigasi Waze.
"Siasatan mendapati pemandu tidak menyedari kewujudan palang besi penghadang had ketinggian di laluan berkenaan lalu melanggar palang menyebabkan bahagian hadapan dan atas bas mengalami kerosakan serta tersekat di bawah struktur besi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata daripada tujuh yang cedera, empat mangsa dirawat di Hospital Serdang manakala tiga lagi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Beliau berkata penumpang yang tidak mengalami kecederaan telah dibawa ke destinasi masing-masing oleh ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Inspektor Narolhisyam Endi di talian 012-5897115 bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA