AM

MALAYSIA KOMITED PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA DENGAN KANADA - PM ANWAR

04/07/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam lawatan rasmi ke Paris, Perancis, kepada Perdana Menteri Kanada Mark Carney menerusi panggilan telefon, dan beliau turut mengucapkan tahniah kepada Carney atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada baru-baru ini.

“Saya menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada, yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga di antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.

Anwar turut menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain, demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.

“Kami juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan