BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

JALAN BAHARU SERKAM-BEMBAN LALUAN ALTERNATIF PELANCONG DARI SELATAN KE PUSAT BANDAR MELAKA

04/07/2025 01:18 AM

JASIN, 3 Julai (Bernama) -- Jalan baharu Serkam-Bemban sejauh tiga kilometer bakal menjadi laluan alternatif strategik bagi pelancong dari selatan tanah air untuk ke Melaka terutama destinasi pelancongan utama di pusat bandar melalui Tol Jasin.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jalan baharu yang menghubungkan simpang Jalan Serkam-Bemban ke simpang Jalan Kandang itu turut memendekkan masa perjalanan sehingga lima minit terutama untuk penduduk setempat dari Ayer Molek ke Tol Jasin.

Beliau berkata projek pembinaan jalan dua lorong yang mula dibina pada 15 Nov 2022 dan siap pada 25 April lepas itu melibatkan kos keseluruhan RM20.2 juta menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-12.

"Ini merupakan projek infrastruktur yang bukan hanya menghubungkan lokasi, tetapi menghubungkan harapan rakyat dengan masa depan yang lebih cerah.

"Jalan ini bukan sekadar tar dan batu, ia adalah simbol kemajuan inklusif yang membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah lupa atau alpa terhadap keperluan rakyat di luar bandar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jalan Baharu Serkam-Bemban sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Bemban yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf berkata jalan baharu itu juga merupakan hasil kerjasama rapat dan gabungan tekad antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang akan terus menjadi pemangkin ke arah Melaka yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

"Projek ini juga selaras dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 kerana kita mahu melihat bukan sahaja pembangunan fizikal yang pesat, tetapi juga pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi hasil rundingan dan permohonan yang dibuat kerajaan negeri, sebanyak sembilan projek baharu dan naik taraf jalan telah diluluskan kerajaan Pusat antaranya naik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan JPJ ke Semabok melibatkan peruntukan RM300 juta yang dijangka mula dilaksanakan Disember ini.

Pembinaan jalan baharu Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah melibatkan kos pembinaan RM125 juta pula dijangka bermula pada Mac tahun hadapan manakala jalan baharu Persimpangan Rim ke Kampung Ulu Jasin yang menelan kos RM35.2 juta dijangka siap pada Ogos ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan